bub
Blog

Wawancara Khas bersama Utusan Malaysia : Pembangkang hanya berjanji kosong

Posted in: Ministry of Higher Education on June 18, 2012

Mukadimah

PIHAK pembangkang baru-baru ini berjanji untuk memberikan pendidikan percuma di peringkat pengajian tinggi dan serentak dengan itu akan menghapuskan pinjaman di bawah skim Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Ekoran itu, PTPTN telah membekukan sementara pemberian pinjaman kepada pelajar baru di Universiti Selangor (Unisel) yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi memastikan keseriusan pihak pembangkang untuk melaksanakan janji-janji itu.

Malangnya, ia hanya janji kosong, apabila kerajaan PKR Selangor tidak mengambil peluang daripada langkah PTPTN berkenaan untuk mengotakan janji mereka sebaliknya mempolitik isu itu dengan menuduh kerajaan Barisan Nasional (BN) bertindak secara tidak adil terhadap pelajar.

Justeru, Menteri Pengajian Tinggi, DATUK SERI MOHAMED KHALED NORDIN menjelaskan kepada Wartawan Utusan Malaysia, NIZAM YATIM dan jurugambar WAHIDAH ZAINAL, rasional tindakan PTPTN itu dan sebab pembekuan pemberian pinjaman ditarik balik di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini.

UTUSAN: Boleh jelaskan tindakan PTPTN membekukan pinjaman ini?

MOHAMED KHALED: Kita sedia maklum pihak pembangkang telah menjadikan pendidikan percuma di peringkat pengajian tinggi sebagai salah satu daripada matlamat sekiranya mereka membentuk kerajaan.

Pelbagai kempen dilakukan mereka, termasuklah menggalakkan atau bersama-sama dengan segelintir mahasiswa untuk mengadakan demonstrasi dan kemudian terus kekal di Dataran Merdeka.

Di pihak kerajaan dan kementerian, kita menyatakan bukan mudah untuk memperkenalkan pendidikan percuma di peringkat pengajian tinggi. Pada masa sama kita juga menyatakan banyak yang kita lakukan termasuk memberi subsidi yang tinggi di peringkat pengajian tinggi.

Kita juga menjawab persoalan-persoalan yang dibangkitkan pembangkang melalui debat yang dilalui oleh wakil parti kerajaan dan parti pembangkang.

Termasuklah sebahagian daripada rancangan pendidikan percuma pembangkang itu adalah menghapuskan PTPTN. Kita telah nyatakan bahawa langkah itu sesuatu yang tidak wajar dilakukan dalam konteks dan keadaan sekarang.

Maka dengan desakan kuat pembangkang, pihak PTPTN menyatakan bahawa mereka perlu melakukan kajian sementara untuk melihat sama ada perkara ini serius ataupun tidak hendak dilaksanakan oleh parti pembangkang khususnya kerajaan negeri yang mereka tubuhkan yang memiliki institusi pengajian tinggi (IPT), maknanya dalam konteks ini, Selangor dan Unisel.

Oleh itu, setelah dimaklumkan oleh PTPTN pada awal Mei, saya tidak ada halangan kerana ia semata-mata untuk mengkaji keseriusan pihak pembangkang dalam mengotakan janji mereka, jadi yang itu kita hendak lihat.

Adakah pembekuan melibatkan seluruh penuntut Unisel?

Kita bersetuju tujuannya membekukan permohonan baru dan itupun sehingga kita dapat kepastian. Maknanya untuk sementara waktu.

Bukannya hendak gantung pinjaman yang telah diberi kepada pelajar-pelajar sedia ada di Unisel, tak timbul langsung. Itu tidak terusik kerana itu sudah ada kontrak. Bagi kerajaan BN, sedangkan janji kita tepati, ini apatah lagi kontrak. Benda sudah ada kontrak, kita tak ada niat nak tahan mana-mana pinjaman yang sudah diluluskan dan kita ada kontrak.

Yang kita nak buat hanya kita bekukan permohonan daripada pelajar baru, sebab kita nak tengok apa reaksi. Kita telah nyatakan secara baik bahawa PTPTN itu adalah penting, tetapi mereka tak mahu terima, mereka masih nak berpolitik. Maka atas sebab itu, kita bersetuju apabila PTPTN mencadangkan untuk bekukan permohonan tersebut. Jadi kita lakukan (pembekuan) sejak awal Mei dan langkah itu bukannya baru.

Difahamkan Unisel telah mengemukakan surat rayuan?

Kita menerima surat daripada Unisel. Dalam surat bertarikh 31 Mei, mereka menyatakan rasa kesal di atas perlakuan pelajar-pelajar mereka yang berdemonstrasi dan memaklumkan pihak pengurusan Unisel tidak bersetuju dengan tindakan pelajar mereka yang terikut-ikut dengan pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lain untuk berdemonstrasi.

Dalam surat itu juga, mereka merayu supaya ditarik balik pembekuan permohonan untuk pelajar mereka mendapatkan pinjaman PTPTN. Mereka katakan bahawa pembekuan itu bakal memberi kesan yang besar kepada pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran di peringkat pengajian tinggi. Ini adalah satu surat yang menggambarkan pendirian dan pemikiran yang sangat jelas mengenai betapa pentingnya PTPTN terhadap mereka.

Apakah sebabnya pembekuan ditarik balik?

Apabila isu ini timbul, pihak kerajaan negeri Selangor pula mengumumkan yang mereka hendak mengapungkan tanah mereka untuk mendapat wang sebanyak RM30 juta.

Jadi berasaskan kepada surat dan langkah mengadakan pengapungan itu, maka kita membuat keputusan bahawa sudah cukup bagi kita untuk menarik balik pembekuan itu dan membenarkan PTPTN dipohon oleh pelajar-pelajar baru di Unisel.

Semua itu menggambarkan bahawa kita tidak ada tujuan menganiaya pelajar baru dan pelajar itupun jumlahnya tidak besar, sebab mereka pelajar baru. Ia menepati apa yang kita katakan bahawa pembekuan itu adalah untuk sementara sahaja.

Apa yang kita perlukan adalah bukti yang kukuh dari segi apa yang kita kehendaki iaitu kita nak tahu sama ada mereka benar-benar ikhlas dan memang mahu memperkenalkan pendidikan percuma.

Adakah pembangkang ikhlas menyediakan pendidikan percuma?

Dari segi kandungan surat yang saya telah nyatakan mereka tidak berniat berbuat demikian. Dari segi pengapungan tanah pula, tujuannya bukan untuk mendapatkan duit bagi memberi pendidikan percuma. Dia tak kata RM30 juta itu dia nak guna untuk dia memberi pendidikan percuma, sebaliknya dia hanya kata untuk membantu pelajar dalam masa sedang susah.

Maknanya sudah jelas, tak ada niat pun nak bagi pendidikan percuma. Memang itupun tujuan kita (untuk mengetahui keikhlasan pembangkang) apabila PTPTN membuat keputusan untuk membekukan pinjaman itu.

Mungkin mereka akan teruskan usaha mengapungkan tanah dan mendapatkan duit, terpulanglah. Soalnya sekarang, kalau itu penyelesaian mereka iaitu menjual tanah mengatasi semua ini, sekurang-kurangnya mereka boleh buat pilihan iaitu membiayai pelajar dengan menjual tanah atau mengambil PTPTN, tetapi jelas nampak macam mereka mengambil PTPTN. Jadi maknanya, PTPTN itu memang sangat penting dan mereka tiada niat hendak melaksanakan pendidikan secara percuma.

Pembangkang memberi alasan tidak boleh berbuat demikian kerana belum membentuk Kerajaan Pusat?

Kalaupun mereka mengambil alih Kerajaan Persekutuan, Unisel tetap sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang dimiliki oleh kerajaan negeri. Bagi kerajaan negeri, Unisel macam IPTA mereka, jadi tak payah nak tunggu selepas pilihan raya.

Kita ada beberapa kolej universiti iaitu Kolej Universiti TATI dan Kolej Universiti Islam Melaka yang dimiliki kerajaan negeri Melaka dan Terengganu. Ia kerajaan negeri BN dan Kerajaan Pusat adalah kerajaan BN, tetapi kolej universiti itu bukan IPTA.

Kalau kita benar-benar percaya dan yakin kepada pendidikan percuma untuk membantu pelajar, maka mengapa kita tidak memperkenalkannya di institusi yang kita kuasai.

Kalau kita ambil alih Kerajaan Pusat dan kita memperkenalkan pendidikan percuma di IPTA, Unisel itu masih IPTS. Begitu juga 60 IPTS yang terdapat dalam negara kita, ia tetap IPTS. Jadi atas sebab itulah kita kata, mengapa tidak lakukan itu dulu, di universiti yang mereka miliki dan kita nak tengok sama ada mereka serius atau tidak.

Apakah kesannya jika PTPTN dimansuhkan?

Jika mereka bubarkan PTPTN termasuk menggalakkan peminjam tidak bayar balik wang PTPTN dan berkonsepkan kepada pendidikan percuma, satu perkara yang mereka perlu lakukan adalah menghapus kira pinjaman yang telah dipersetujui oleh badan itu iaitu sebanyak RM44 bilion.

Kedua, dia perlu bayar orang yang sudah bayar PTPTN yang jumlahnya sekarang RM3.2 bilion.

Ketiga, dia harus faham bahawa PTPTN turut meminjam daripada bank untuk membolehkan ia melaksanakan tanggungjawabnya. Pada hari ini pinjaman PTPTN yang terdapat di bank RM25.7 bilion dan ini kena bayarlah.

Siapa nak bayar, tiada sesiapa nak ambil tanggungjawab untuk membayar. Ini adalah perkara-perkara yang dia perlu lakukan, jadi bukannya sesuatu yang mudah.

Apakah kesan gesaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya pelajar tidak membayar balik pinjaman?

Ia sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada PTPTN kerana duit itu akan digunakan semula sebagai pinjaman kepada pelajar-pelajar sedia ada. Ia boleh menjejaskan 400,000 pelajar, jadi gesaan Anwar supaya peminjam tidak bayar balik itu adalah lebih menganiaya pelajar-pelajar sedia ada.

Ekoran gesaan Anwar ini, saya difahamkan oleh PTPTN memang ada sedikit penurunan kutipan pada bulan tiga dan empat, tetapi saya belum dimaklumkan jumlah sebenarnya.

Nampaknya pembangkang yang paling banyak menyusahkan pelajar?

Jangan cakap soal nak berikan pendidikan percuma, sebaliknya kita tengok kadar yuran yang mereka kenakan kepada pelajar. Jika dibandingkan dengan universiti awam, ia begitu tinggi sekali.

Kalau kita lihat di Universiti Malaya (UM), yuran Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan bagi keseluruhan tempoh pengajian adalah sebanyak RM8,176, sedangkan Unisel RM32,230.

Yuran Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan di UM pula RM7,183 berbanding Unisel, RM22,730.

Kalau Diploma Kejuruteraan Elektrik di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pula adalah RM2,782, di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebanyak RM2,780, manakala Unisel, RM18,950.

Ini tidak bercakap lagi mengenai pendidikan percuma, ini mengenai tak ada subsidi yuran. Ini menunjukkan kerajaan BN telah memberikan bantuan subsidi yang tinggi untuk rakyat.

Anwar mendakwa hanya memerlukan RM5 bilion wang Petronas setahun bagi menyediakan pendidikan percuma?

Mungkin dia ambil angka ini daripada PTPTN yang menyasarkan jumlah itu setiap tahun bagi memberikan pinjaman.

Saya nak beritahu bahawa itu satu perkiraan yang sangat simplistik dan sangat tidak tepat. Ia mungkin sesuai untuk PTPTN, tetapi tak akan dapat menampung pendidikan percuma.

Sebabnya pertama, PTPTN tidak menampung 100 peratus pelajar yang mengikuti program di IPT.

Ada ramai juga pelajar yang masuk ke IPTA dengan pembiayaan badan-badan lain dan ada yang dibiayai oleh ibu bapa.

PTPTN hanya membayar sebahagian, kalau pembangkang memperkenalkan yuran percuma, semua orang layak dapat dan jumlah RM5 bilion tak cukup. Kemudian bagaimana pula dengan yang belajar di IPTS. Kita nak tahu, kalau kata pendidikan percuma, apa akan jadi kepada IPTS.

Pengarah Strategik PKR, Mohd. Rafizi Ramli dalam debatnya kata kerajaan akan bayar dan akan ambil alih sebahagian daripada IPTS dan langkah ini akan melibatkan jumlah wang yang banyak.

Anwar juga menyatakan, setiap pelajar akan diberi RM5,000 seorang untuk kos sara hidup. Saya sudah kira, lebih kurang RM4.3 bilion lagi diperlukan.

Seperkara lagi, perbelanjaan mengurus 20 IPTA adalah RM8.3 bilion pada tahun lalu. Ini belanja mengurus 20 IPTA, kalau ditambah 10 universiti awam baru yang akan ditubuhkan pembangkang, kita kena tambah lagi RM4 bilion. Takkan tak ada nak bayar gaji pensyarah dan lain-lain untuk universiti baru itu. Jika kira semua sekali, bukan RM5 bilion seperti Anwar sebut sebaliknya memerlukan lebih daripada itu.

Pembangkang mendakwa negara maju tidak mempunyai IPTS?

Di negara maju mereka mengenakan cukai yang sangat tinggi dan kita juga tahu di negara maju mereka adalah ‘aging population’ (penduduk yang semakin tua) yang menyebabkan jumlah pelajar tidak ramai. Atas sebab itulah, cukup mereka menyediakan tempat melalui universiti awam.

Di negara kita , oleh kerana kita memberi penekanan kepada meningkatkan kemudahan pendidikan, kita telah memberi peluang kepada pihak swasta untuk menjadi pelengkap kepada usaha-usaha kita.

Kalau kita tiada institusi pengajian yang disediakan oleh pihak swasta, kemungkinannya kita tidak dapat menyediakan tempat yang cukup untuk memenuhi keperluan anak-anak muda Malaysia bagi melanjutkan pengajian di peringkat yang tinggi.

Bagi memastikan pelajar tidak terhalang daripada melanjutkan pengajian di institusi swasta, kita menyediakan pinjaman PTPTN. Ketiadaan pinjaman daripada badan ini akan menyebabkan masalah yang besar timbul seperti yang dihadapi oleh Unisel yang merupakan sebuah IPTS.

Pelajar Unisel kalau katakan, mereka tak dapat menyambung pelajaran kerana tiada pinjaman PTPTN, ini tidak bermakna mereka boleh masuk universiti awam kerana IPTA mempunyai tempat yang terhad.

Apa yang akan berlaku adalah seperti di Sri Lanka, ia memberi pendidikan percuma, tetapi tempat yang disediakan hanya untuk 20,000 orang. Jika dibandingkan dengan Malaysia, kita menyediakan lebih 200,000 tempat setahun.

Bila kita membekukan permohonan pinjaman pelajar baru terhadap Unisel, mereka mengeluarkan kata-kata kesat dan bermacam-macam tuduhan. Sepatutnya kata-kata yang sama boleh dituju kepada pembangkang, kerana mereka meminta lebih teruk daripada itu iaitu supaya dihapuskan PTPTN.

Bagaimana jika pembangkang tidak menutup IPTS?

Katalah dia tidak buat apa-apa kepada IPTS, okey semua pelajar akan fikir nak buat apa masuk IPTS kerana pendidikan di IPTA adalah percuma. Jadi banyak pelajar akan memberi tumpuan terhadap IPTA. Soalnya, adakah kerajaan pembangkang boleh bertindak cepat menubuhkan universiti awam baru bagi menampung jumlah pelajar?

Berapa lama nak diambil untuk ditubuhkan 10 universiti dan ini termasuk tambahan, pensyarah, kurikulum dan sebagainya? Perlu juga difikirkan tempat mana nak buat universiti dan adakah betul satu universiti hanya berharga RM300 juta? Kalau betul kos sebanyak itu, maknanya mereka hanya akan bina universiti di bandar dan takkan buat di luar bandar.

Macam-macam isu yang tak jelas dan ini semua membuktikan mereka hanya nak mengaburi mata pengundi.

Apakah nasihat kepada rakyat yang terlalu percayakan janji pembangkang?

Kita mengharapkan rakyat menyedari kita tak dapat memberikan 100 peratus pendidikan percuma kerana ia akan mendatangkan banyak masalah kepada negara. Kita belum mempunyai kemampuan kerana belum pun menjadi sebuah negara maju.

Mereka khususnya orang muda juga harus ingat pendidikan percuma adalah strategi populis pembangkang. Mula-mula dia kata, mahu hapuskan PTPTN, kemudian bila kita bekukan pinjaman di Unisel, dia tukar pula dan kata nak PTPTN, jadi itu semua nampak sangat populis.

Mereka sedar pentingnya PTPTN dan melalui episod ini kita nampak jelas pihak pembangkang tidak bersedia menyediakan pendidikan percuma dan ia hanya satu gimik politik.

tag

Tarik golongan muda sertai Rela

Posted in: Ministry of Higher Education on June 18, 2012

JOHOR BAHRU 10 Jun – Rela Pasir Gudang diseru meningkatkan keahlian daripada 3,000 orang kepada satu jumlah munasabah bersesuaian dengan jumlah penduduk kawasan itu yang berjumlah kira-kira 100,000 orang.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sasaran untuk mengambil ahli Rela baru khususnya dalam kalangan golongan muda perlu dilakukan sebagai pelapis kepada anggota Rela sedia ada yang sebahagian besar sudah menjangkau usia emas.

“Penyertaan golongan muda dalam Rela sedikit sebanyak mendedahkan golongan tersebut dengan aktiviti khidmat masyarakat serta membantu menjaga keselamatan dan ketenteraman awam yang pada masa kini lebih mencabar.

“Selain itu, ia juga dapat menghindarkan golongan belia daripada terlibat dengan gejala sosial termasuk pembabitan dalam najis dadah, budaya lepak, merempit, mencuri, meragut dan kegiatan vandalisme,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Ahli Rela Pasir Gudang di Kompleks Bandar Pasir Gudang di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang memberitahu, Rela mempunyai peranan dan pengaruh yang cukup tinggi dalam membantu menjaga dan mengawal keselamatan serta ketenteraman awam selain melancarkan perjalanan apa-apa aktiviti atau program yang berlangsung di kawasan terbabit.

Beliau berkata, jumlah anggota Rela di Pasir Gudang terlalu sedikit jika dibandingkan dengan kepadatan penduduk dan usaha menambah keahlian perlu dilakukan secara agresif bermula sekarang.

“Secara jujur kerajaan Barisan Nasional (BN) dan saya selaku Ahli Parlimen bersedia memberikan bantuan dan sokongan apa sahaja yang diperlukan serta berhasrat mengadakan perjumpaan dengan anggota Rela sekurang-kurangnya sekali setahun,” katanya.

 

tag