bub
Blog

Wawancara: Politeknik METrO tingkatkan tenaga kerja mahir

Posted in: Ministry of Higher Education on July 21, 2011

2011/07/21

pix_gal0

KEWUJUDAN Politeknik METrO pada awal tahun ini membuka satu lagi lembaran baru dalam agenda transformasi politeknik sebagai institusi pilihan pendidikan teknikal dan latihan vokasional bagi memenuhi keperluan sosioekonomi tempatan dan wilayah terutama sektor perkhidmatan peringkat perusahaan kecil dan sederhana mahupun syarikat multinasional.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, memperincikan usaha menghasilkan tenaga kerja mahir negara menerusi inisiatif terbaru itu seperti disampaikan kepada Wartawan Varsiti, Rosniza Mohd Taha.

S Proses kemasukan lepasan sekolah ke institusi pengajian tinggi termasuk kolej dan universiti awam mahupun swasta semakin rancak ketika ini hingga September. Bagaimana kedudukan politeknik dalam kepelbagaian pilihan melanjutkan pengajian peringkat tinggi yang semakin meluas bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)? J Politeknik menawarkan pengajian alternatif yang setanding dengan universiti kepada lepasan sekolah, malah, ia lebih khusus kerana melahirkan tenaga kerja mahir separa profesional serta eksekutif pertengahan dalam bidang diperlukan negara.

Jika dulu, kebanyakan ibu bapa mempunyai persepsi bahawa pendidikan di universiti adalah satu-satunya peluang pendidikan terbaik bagi anak mereka, kini politeknik turut diiktiraf sebagai institusi pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TEVT) yang mampu menjadi penyumbang utama kepada pembangunan ekonomi negara menjelang 2020.

TEVT di politeknik relevan dengan keperluan industri kerana ia menawarkan bidang pengajian seiring dengan Aktiviti Ekonomi Utama Nasional (NKEA), contohnya, kejuruteraan, teknologi, perdagangan dan perkhidmatan.

Menjelang 2020, negara menyasarkan 1.5 juta pekerja mahir lulusan bidang TEVT. Daripada jumlah itu, 680,000 pekerja adalah lulusan diploma yang dihasilkan politeknik serta beberapa institusi pendidikan dan latihan lain.
Selain itu, politeknik mempunyai 28 kampus seluruh negara dengan kadar yuran pengajian yang berpatutan. Memandangkan semua program pengajian politeknik mendapat akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia, semua pelajar layak dipertimbangkan untuk mendapat pembiayaan Tabung Perbadanan Pengajian Tinggi Negara serta badan lain.

Secara keseluruhan, politeknik menawarkan pakej melanjutkan pengajian yang terbaik kepada lulusan SPM dan seterusnya menawarkan peluang kerjaya yang luas.

S Politeknik Ungku Omar adalah yang pertama ditubuhkan pada 1969 dan banyak perkembangan sejak penubuhan institusi itu. Difahamkan, satu lagi Politeknik ditubuhkan di Lembah Klang, baru-baru ini dengan konsep berbeza berbanding politeknik konvensional itu. Boleh Datuk Seri jelaskan perbezaan kedua-dua politeknik ini?

J Sebagai institusi tertua, Politeknik Ungku Omar ditubuhkan lebih 40 tahun lalu bagi melahirkan juruteknik beberapa bidang kejuruteraan dan kursus lain termasuk perakaunan, teknologi galian, perancangan bandar dan desa, pengajian tanah dan trengkas.

Bidang dan tenaga mahir yang dijana politeknik perlu seiring keperluan industri. Justeru, penubuhan politeknik sememangnya sejajar dengan keperluan pembangunan negara pada ketika itu iaitu dalam industri pembuatan.

Kini sudah ada 30 politeknik di seluruh negara termasuk yang terbaru iaitu tiga Politeknik METrO di Setia Wangsa, Kuala Lumpur; Kuantan, Pahang dan Johor Bahru, Johor.

Pelancaran Transformasi Politeknik disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tahun lalu, antara lain bertujuan memartabatkannya setanding IPT lain serta sejajar agenda pendidikan Rancangan Malaysia Ke-10 iaitu membangun dan mengekal modal insan bertaraf dunia.

Bagi memastikan politeknik mampu memainkan peranan membekalkan negara dengan tenaga kerja berkemahiran tinggi daripada setiap lapisan masyarakat, Politeknik METrO ditubuhkan.

Politeknik METrO mempunyai ciri unik dalam menawarkan program pengajian bagi memenuhi keperluan sosioekonomi tempatan dan wilayah. Program pengajian yang ditawarkan adalah dalam bidang perkhidmatan dan perdagangan.

Ini juga selari keperluan pekerjaan di bawah NKEA yang mengunjurkan keperluan pekerjaan tertinggi adalah dalam bidang pelancongan dan peruncitan menjelang 2020. Konsep program pengajian Politeknik METrO juga berbeza daripada segi pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang khusus iaitu membabitkan program pengajian, kemudahan dan persekitaran yang dipadankan dengan keperluan industri.

Buat masa ini, hanya program sepenuh masa dijalankan di Politeknik METrO. Secara umumnya, perkataan Metro membawa makna satu kawasan dalam sebuah bandar yang besar.

Sehubungan itu, penubuhan Politeknik METrO tertumpu kepada kawasan bandar di lokasi yang mempunyai sistem pengangkutan awam mencukupi. Penyediaan asrama untuk pelajar tidak menjadi keutamaan kerana pelajar berulang-alik dari kediaman masing-masing.

S Sebelum ini, syarat kelayakan akademik minimum kemasukan ke politeknik ialah SPM. Adakah Politeknik METrO mempunyai sasaran pelajar yang berbeza?

J Perkataan METrO merujuk kepada akronim Maximising Education and Training Opportunities. Politeknik METrO berperanan sebagai institusi transisi atau peralihan bagi menyediakan keperluan pendidikan lepasan menengah sebelum memasuki pasaran tenaga kerja atau melanjutkan pengajian pada peringkat tinggi.

Politeknik METrO menyasarkan pelajar dari kawasan berhampiran dengan politeknik berkenaan iaitu Setiawangsa, Kuantan dan Johor Bahru kerana ia tidak menyediakan kemudahan penginapan bagi pelajar.

Ketika ini, program yang ditawarkan adalah bidang Pengurusan Pelancongan, Pengurusan Peruncitan, Pengurusan Hotel dan Katering dan Teknologi Makanan (Pengamalan Halal).

Pada masa depan, kita merancang Politeknik METrO melaksanakan program sambilan menggunakan pendekatan Open dan Distant Learning. Program sambilan ini dibuka kepada mereka yang sedang bekerja dan berhasrat untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran.

S Lazimnya, politeknik mempunyai kampus yang besar dan mampu menampung sehingga 5,000 pelajar. Difahamkan, kapasiti Politeknik METrO hanya 1,000 pelajar. Mengapa begitu ?

J Sebelum ini, politeknik terkenal dengan pelbagai program kemahiran, contohnya, kejuruteraan, perdagangan dan perkhidmatan, teknologi maklumat, teknologi makanan dan reka bentuk.

Politeknik METrO berbeza kerana memfokuskan kepada sektor perkhidmatan yang mempunyai permintaan dan peluang pekerjaan tinggi menjelang 2020 terutama bidang pelancongan dan peruncitan.

Berbalik kepada konsep Politeknik METrO, oleh kerana ia ditempatkan di bangunan komersial sedia ada serta kawasan bandar yang mempunyai sistem kemudahan pengangkutan baik, kita tidak perlu membangunkan kampus yang besar.

S Apa kriteria graduan Politeknik METrO yang bakal dihasilkan?

J Jabatan Pengajian Politeknik mempunyai hubungan yang rapat dengan pihak industri dan badan korporat. Kami sentiasa membabitkan pihak terbabit dalam pembangunan kurikulum.

Ini bagi memastikan pelajar yang dilahirkan sentiasa memenuhi keperluan pasaran kerja dan kehendak pihak industri. Pelajar politeknik tidak hanya dibekalkan dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran tinggi, malah bersifat inovasi dan kreatif yang amat diperlukan majikan dewasa bagi membolehkan mereka mempunyai daya saing tinggi.

S Bagi menjayakan ekonomi berasaskan inovasi dan kreativiti yang dicanangkan kerajaan, apakah harapan Datuk Seri terhadap peranan boleh dimainkan Politeknik METrO bagi memenuhi sasaran transformasi pembangunan negara itu?

J Saya berharap Politeknik METrO memberi satu lagi pilihan bagi lepasan sekolah dan masyarakat setempat untuk meningkatkan ilmu dan kelayakan supaya dapat memajukan diri mereka dalam bidang kerjaya yang diceburi.

Melalui penerapan amalan inovasi dan kreativiti, kita menyasarkan graduan Politeknik METrO menjadi usahawan yang bersedia menjana pendapatan sendiri, malah mampu menyediakan peluang pekerjaan untuk orang lain.

Secara tidak langsung, ia akan meningkatkan pendapatan negara ke arah mencapai ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020. Menerusi Pelan Transformasi Politeknik yang dilancarkan tahun lalu, Jabatan Pengajian Politeknik (JPP) akan terus menyediakan peluang melanjutkan pelajaran berdasarkan empat teras iaitu memperkasa politeknik menjadi institusi pilihan, membangunkan program pengajian dalam bidang tujahan yang bertunjang kekuatan di setiap politeknik, memperkasa kakitangan politeknik dengan pengetahuan dan kemahiran yang tinggi serta membina imej politeknik bereputasi tinggi dan memupuk budaya kerja cemerlang.

Berdasarkan teras ini, Kementerian Pengajian Tinggi menerusi JPP akan terus menjadi jaringan institusi yang inovatif, kreatif dan responsif serta menyumbang ke arah pencapaian Malaysia sebagai negara maju menjelang 2020.

 

SUMBER : BERITA HARIAN 21 JULAI 2011

tag

Leave Your Comment

* This are required fields.