bub
Blog

IPT tak ‘bunuh’ atlet

Posted in: Ministry of Higher Education on May 25, 2012

25/5/2012


KHALED (tiga dari kanan) bergambar bersama para penaja pada majlis pelancaran Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2012 di Putrajaya semalam.

 


 

PUTRAJAYA: SEANDAINYA ada yang berasakan karier sebagai atlet sukan bakal ‘terkubur’ sebaik melanjutkan pengajian di mana-mana Institusi Pengajian Tinggi (IPT), ia adalah tanggapan yang silap.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, persepsi negatif segelintir masyarakat yang menyifatkan perjalanan seseorang atlet berakhir sebaik menjejakkan kaki ke menara gading sepatutnya diubah.

Menurut beliau, ia ekoran kejayaan yang dicetuskan atlet IPT di peringkat antarabangsa setakat ini, yang mana 25 peratus daripada atlet kebangsaan merupakan penuntut IPT.

Justeru, katanya, Kejohanan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2012 buat julung-julung kalinya yang bakal membuka tirai pada 28 Oktober depan disifatkan sebagai platform terbaik pelajar IPT mempamerkan kehebatan masing-masing dalam bidang sukan.

“Persepsi negatif mengatakan IPT sebagai ‘kubur’ atlet sememangnya tidak benar, kami sentiasa memberikan mereka galakan dan peluang seperti mana SUKIPT 2012.

“Malah, penganjuran buat kali pertama ini juga dilihat sebagai peluang kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) meraih pengalaman berguna dalam menganjurkan temasya sukan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kejohanan tersebut di Putrajaya semalam.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha KPT, Datuk Omar Abdul Rahman; Setiausaha Bahagian Sukan KPT, Dr. Saharudin Ismail serta Pengerusi Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum), Prof. Madya Datuk Kasim Md. Mansur.

Seramai 25,000 atlet daripada 101 buah IPT seluruh negara bakal menyertai kejohanan selama 10 hari itu yang membabitkan 15 jenis sukan di beberapa venue sekitar Lembah Klang.

Ia dijangka dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pada 28 Oktober depan.

Mengulas lanjut, kata Mohamed Khaled, SUKIPT 2012 juga dilihat sebagai platform mengekal pasti bakat baharu sebagai persediaan menghadapi Sukan Universiti ASEAN dan Sukan Universiti Dunia selepas ini.

“Saya juga percaya, penganjuran SUKIPT 2012 juga merupakan medium terbaik bagi melahirkan lebih ramai The Thinking Athletes (atlet yang berilmu pengetahuan) dalam kalangan pelajar IPT bagi mewakili negara di pentas antarabangsa.

“Ia sejajar dengan Dasar Sukan IPT yang menyasarkan supaya 30 peratus daripada atlet negara terdiri daripada pelajar IPT selepas ini,” katanya.

tag

Leave Your Comment

* This are required fields.