bub
Blog

Pengajian Tinggi Negara Untuk Rakyat

Posted in: Ministry of Higher Education on June 14, 2012

Pencapaian Malaysia meraih tangga 36 terbaik dunia  dan kedua terbaik selepas Singapura di peringkat Asia Tenggara menerusi penarafan U21 Ranking of National Higher Education Systems (U21) 2012 yang diumumkan baru-baru ini menyaksikan buat julung kalinya ekosistem pengajian tinggi negara dinilai secara keseluruhan. Ini berbeza dengan sistem ranking sebelum ini yang hanya memberi fokus dan menilai pencapaian sesebuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) atau universiti.

U21 menilai sistem pengajian tinggi negara melalui empat elemen pengukuran iaitu sumber (resources), persekitaran (environment), jaringan dan hubungan antarabangsa (connectivity) dan keberhasilan (output).

Dalam aspek sumber yang melihat perbelanjaan dalam sektor pengajian tinggi, Malaysia mendapat skor 57.8 peratus  mengatasi Jepun, United Kingdom, Sepanyol dan China. Ini membuktikan Malaysia memberi pelaburan yang besar dalam konteks pengajian tinggi. Malah perbelanjaan yang diperuntukkan dalam sektor ini tidak dianggap perbelanjaan semata-mata, tetapi satu pelaburan yang akan menguntungkan negara pada jangksa masa yang panjang.

Aspek kedua iaitu persekitaran memperlihatkan Malaysia mendapat skor 86.7 peratus mengatasi Denmark, Jerman, Sepanyol dan Korea. Dalam aspek ini, Malaysia mencatat markah yang tinggi kerana ia dibantu oleh faktor pelajar wanita yang ramai yang melanjutkan pengajian di IPT. Ini sememangnya tidak dinafikan kerana hampir 70 peratus pelajar wanita mewakili keseluruhan jumlah pelajar IPT dalam Negara.

Aspek ketiga iaitu jaringan dan hubungan antarabangsa melihat jumlah pelajar antarabangsa di IPT tempatan dan penghasilan artikel jurnal secara berkolaborasi dengan sarjana antarabangsa. Dalam hal ini, Malaysia hanya mencatat 38.3 peratus tetapi masih mengatasi Amerika Syarikat, Jepun dan Taiwan.

Sehingga kini, Jumlah pelajar antarabangsa yang melanjutkan pelajaran di Malaysia bagi tahun 2011 adalah seramai 91,670 orang. Lima buah negara tertinggi jumlah pelajarnya di Malaysia adalah Iran, China, Indonesia, Yaman, dan Nigeria.  Jumlah ini boleh ditingkatkan bagi mencapai sasaran 200,000 ribu pelajar antarabangsa di IPT tempatan menjelang tahun 2020.

Bagi mencapai hasrat ini, Perkhidmatan Global Pendidikan Malaysia atau Education Malaysia Global Services (EMGS) iaitu syarikat milik penuh Kementerian Pengajian Tinggi telah ditubuhkan. Ia berperanan sebagai pusat sehenti bagi memantau, menyelia dan menyelaras urusan berkaitan promosi, pemasaran dan perkhidmatan sokongan pelajar antarabangsa mulai tahun ini.

Aspek terakhir adalah keberhasilan. Aspek yang menilai hasil penyelidikan dan pengkomersilan ini menyaksikan Malaysia sekadar mencatat 15.4 peratus sahaja. Dalam keempat-empat aspek yang dinilai, aspek ini adalah aspek yang perlu diberi perhatian istimewa jika Malaysia mahu memperbaiki kedudukan di tahun-tahun akan datang.

Sehubungan dengan itu, selain meneruskan usaha memantapkan universiti-universiti penyelidikan, satu sistem dicadang untuk dibangunkan supaya dapat mengukur output atau keberhasilan penyelidikan-penyelidikan yang telah dilaksanakan oleh IPT. Ini penting agar segala apa yang dibelanjakan, kita mendapat hasil atau pulangan yang setimpal atau value for money.

Tidak dinafikan kedudukan Malaysia dalam ranking U21 boleh dibanggakan. Ranking ini juga membuktikan bahawa kerajaan amat komited dalam sektor pengajian tinggi dengan menyediakan bajet yang besar. Peruntukan yang besar ini membolehkan sektor pengajian tinggi bergerak dengan lebih dinamik yang menyaksikan bukan sahaja pembangunan fizikal diperteguh, tetapi pembangunan intelektual turut diperkukuh.

Lebih penting, Malaysia jauh terkehadapan dalam soal akses ke IPT. Hal ini perlu diberi penekanan bahawa Malaysia sememangnya berjaya dalam soal menyediakan akses ke pengajian tinggi. Akses ini bukan datang bergolek begitu sahaja, sebaliknya dibantu dengan dasar dan polisi yang baik oleh kerajaan khususnya dalam soal menyediakan mekanisme bantuan kewangan seperti subsidi dan pembiayaan pengajian tinggi kepada para pelajar.

Perlu diingat, kerajaan telah membiayai 90 peratus daripada kos pengajian tinggi yang telah dan sedang dinikmati oleh para pelajar di IPTA khususnya. Bukan sekadar subsidi yuran pengajian yang diberikan,pelajar juga dibiayai dengan pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang menampung kos yuran dan sara hidup mereka.

Pendek kata, pendidikan hampir percuma sebenarnya telah pun diberikan oleh kerajaan. Namun begitu, kos pengajian tinggi perlu juga ditanggung oleh pelajar itu sendiri sebagai satu komitmen peribadi, apatah lagi melalui pengajian tinggi yang diperolehi, mereka juga menikmati faedah individu yang boleh memperbaiki taraf hidup mereka sendiri.

Kita optimis bahawa kedudukan Malaysia boleh diperbaiki. Apatahlagi, keputusan ranking baru-baru ini menggunakan data dan pencapaian sektor pengajian tinggi pada tahun 2008 dan 2009. Pada ketika itu, penubuhan universiti penyelidikan baru sahaja diperkenalkan pada tahun 2007 dan impaknya belum lagi mencapai keberhasilan pada tahap tinggi.

Sesungguhnya, pencapaian demi pencapaian dalam sektor pengajian tinggi tidak akan memberi sebarang makna jika ia tidak memberi sumbangan kepada pembangunan, kemajuan dan transformasi negara. Dalam erti kata yang lain, matlamat pengajian tinggi negara mesti mengambil kira bagaimana sektor pengajian tinggi memberi nilai tambah dalam pembangunan negara bangsa, memperkukuhkan perpaduan dan meletakkan Malaysia berada di landasan yang tepat untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Perkara ini sewajarnya diambil perhatian oleh semua pihak khususnya IPT dalam negara. Keberadaan mereka dalam sektor pengajian tinggi tidak boleh semata-mata disorot dalam konteks menara gading semata-mata, sebaliknya berperanan sebagai agen perubahan yang menyumbang kepada kesejahteraan rakyat.

Malah, saya pernah mengingatkan para akademia sewaktu melancarkan Indeks Sitasi Malaysia (MyCite), Pusat Sitasi Malaysia baru-baru ini agar memastikan setiap hasilan penyelidikan itu tidak terhenti dalam konteks penulisan jurnal semata-mata. Sebaliknya, hasil penyelidikan tersebut perlu dikongsi bersama bagi kepentingan awam termasuk mempengaruhi dasar-dasar kerajaan. Dalam erti kata yang lain, sumbangan penyelidikan untuk manfaat lebih besar iaitu rakyat dan kesejahteraan mereka. Dan, baharulah sektor pengajian tinggi benar-benar boleh menjadi penyumbang kritikal kepada transformasi Malaysia seperti yang diidam-idamkan.

 

Penulis merupakan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia. Beliau boleh dihubungi melalui emel mkhaled.mohe@gmail.com

tag

Leave Your Comment

* This are required fields.