HUBUNGAN Malaysia dan Indonesia pernah tercalar sewaktu isu tarian pendet menjadi pertikaian dan perdebatan sedikit masa dulu. Siapa sangka hanya dengan satu tarian, hubungan kedua-dua negara boleh menjadi tegang. Inilah magik kebudayaan yang kadang-kala dianggap remeh, rupanya mampu menggegarkan dunia dan hubungan diplomatik antara dua negara.
Saya tidak berminat untuk mengulas isu tarian Pendet kerana ia sudah berjaya diselesaikan. Hubungan Malaysia-Indonesia kembali bertaut dan berjalan seperti biasa. Umpama carik-carik bulu ayam, akhirnya bercantum semula. Mesej yang ingin saya tonjolkan di sini ialah betapa kebudayaan amat penting yang boleh menjadi faktor penyatu dan perpaduan sama ada antara negara dan dalam negara itu sendiri.
Dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara majmuk dan berbilang kaum, kebudayaan pasti menjadi elemen penting. Kebudayaan boleh menjadi wahana dalam proses pengenalan dan perpaduan antara kaum. Memandangkan setiap kaum mempunyai kebudayaan tersendiri, perbezaan yang wujud dapat menonjolkan identiti mereka.
Namun perbezaan itu tidak seharusnya menjadi batu penghalang untuk perpaduan. Dengan perbezaanlah kita boleh mengenal antara satu sama lain. Malah kita juga selalu mendengar orang mengatakan bahawa perpaduan dalam kepelbagaian.
Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang diperkenalkan sejak 1971, banyak menentukan hala tuju kebudayaan. Sehingga sekarang, kita tidak menghadapi banyak masalah untuk mengurus kebudayaan antara kaum kerana semua kebudayaan mengajak manusia menghargai kebaikan dan kebenaran.
Kebudayaan boleh ditandai melalui pelbagai aktiviti antaranya kesenian dan ia sudah menjadi penanda aras kepada kekayaan dalam kebudayaan itu sendiri. Pelancaran Tarian Cuti-Cuti 1Malaysia baru-baru ini oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menggambarkan betapa Malaysia mewah dengan pelbagai jenis tarian yang boleh menjadi pengikat kepada perpaduan rakyat.
Saya bersetuju dengan pandangan Rosmah bahawa kekuatan kepada sebuah negara bangsa tidak hanya bergantung kepada ketumbukan ketenteraan dan persenjataan yang hebat, sebaliknya kekuatan negara itu juga bersandarkan warisan kebudayaan dan kesenian, sama ada dalam bentuk persuratan, bahasa, muzik mahupun tarian.
Oleh kerana itu, saya amat menyokong sebarang aktiviti kebudayaan dijalankan di universiti. Sebagai sebuah menara gading yang menempatkan golongan cerdik pandai, universiti adalah tempat terbaik untuk memugar dan menyuburkan aktiviti kebudayaan.
Baru-baru ini, dalam ucapan saya sempena Festival Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia atau FESTKUM di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), saya menegaskan bahawa kebudayaan amat penting untuk dipupuk dan disuburkan apatah lagi ia dijayakan oleh generasi muda yang mendapat akses pengajian tinggi di negara.
FESTKUM yang pertama kali diadakan ini berjaya menggabungkan 14 aktiviti seni dan budaya dengan penyertaan oleh semua 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara kita. Saya dimaklumkan juga seramai 1,400 mahasiswa, terdiri daripada pelbagai kaum terbabit dalam acara dipertandingkan seperti dikir barat, boria, pantun, lagu irama Malaysia, tarian zapin, tarian Cina, tarian klasik India dan akustik dan ini adalah satu pencapaian yang boleh kita banggakan.
Sebagai golongan cerdik pandai dan generasi yang bakal menentukan masa depan negara, saya yakin mahasiswa mempunyai kesedaran kental untuk mengekalkan kebudayaan dan kepelbagaiannya. Lebih-lebih lagi, saya melihat penganjuran program seperti FESTKUM ini boleh menjadi wahana dalam usaha kita melahirkan mahasiswa serba boleh, kreatif dan berdaya saing.
Malah medan seperti ditunjukkan dalam festival kebudayaan itu jelas mempamerkan universiti adalah lokasi terbaik untuk memahami dan mendalami struktur budaya setiap kaum. Selaras dengan tema FESTKUM yang dipilih iaitu ‘Satu Budaya’, saya pasti ia menjadi satu gagasan murni selaras konsep ‘1Malaysia’ yang diperkenalkan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak.
Usaha menyubur dan memperkukuhkan lagi program berbentuk kebudayaan di Malaysia seperti FESTKUM mesti diperluaskan dari semasa ke semasa dan ia tidak boleh berada pada tahap sama. Sebarang usaha mempromosi program kebudayaan mesti digerakkan bukan saja kepada pelajar Malaysia, malah turut membabitkan golongan lain, misalnya pelajar antarabangsa yang menyambung pengajian di negara ini.
Kedudukan Malaysia sebagai antara hab pengajian tinggi yang popular di dunia mesti diambil kira dalam hal ini. Mengikut rekod, kita mempunyai 70,000 pelajar antarabangsa yang sedang mengikuti pengajian di Malaysia. Dalam hal ini saya percaya, kekayaan dalam kebudayaan kita mesti ditonjolkan kepada masyarakat antarabangsa sebagai akar dan jati diri rakyat Malaysia yang pelbagai kaum.
Malah, dalam usaha kementerian menjadikan Malaysia sebagai hab pengajian tinggi dan pusat kepada perkembangan pengetahuan dan inovasi di peringkat antarabangsa, kita boleh menarik minat pelajar antarabangsa untuk datang ke Malaysia melalui kebudayaan yang kita miliki. Oleh itu, tidak mustahil pada masa akan datang, pelajar antarabangsa menjadikan kebudayaan kita sebagai antara daya tarikan utama mereka datang ke Malaysia untuk belajar dan melaksanakan kajian serta penyelidikan di sini.
Membincangkan soal kebudayaan, saya percaya ia bukanlah berlegar sekitar tarian dan aktiviti berbentuk hiburan semata-mata. Kita tidak boleh melihat kebudayaan dalam konteks yang kecil dan sempit. Definisi dan ruang lingkup kebudayaan sebenarnya lebih jauh dan luas daripada itu. Pemikiran, idea dan gagasan begitu juga nilai-nilai sosial dan agama yang kita pegang, sebenarnya sumber kepada kebudayaan itu sendiri.
Oleh itu, apa yang terkandung dalam pemikiran dan idea kita sebenarnya mencerminkan budaya dan kebudayaan kita. Jika kita berfikiran sempit, negatif, mudah berpuas hati, bersifat mediocre dan tidak mahu maju ke hadapan, itu sudah cukup menggambarkan kita tidak memiliki kebudayaan yang tinggi dan murni.
Dalam usaha Kementerian Pengajian Tinggi menggerakkan sektor pengajian tinggi negara membantu Malaysia mencapai ekonomi berasaskan inovasi selain mencapai strategi untuk Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), kita mesti memiliki budaya yang tinggi. Pemikiran yang positif dan progresif juga inovatif adalah prasyarat untuk kita bersama-sama melangkah dan menuju matlamat berkenaan.
Kesimpulannya, kebudayaan adalah jati diri kita. Kebudayaan yang baik adalah berpandukan akal dan pemikiran yang tinggi. Selain itu, ekspresi kebudayaan melalui aktiviti kesenian mesti dipelihara kelestariannya. Universiti yang menjadi tempat terkumpulnya cerdik pandai dan inteligensia mesti menjadi juara kepada kebudayaan yang baik dan negara pasti menerima hasilnya.