Pelbagai faktor telah mempengaruhi dimensi serta peranan sektor pengajian tinggi pada hari ini. Ianya turut didorong oleh kehendak serta perubahan yang berlaku dalam pelbagai aspek kehidupan meliputi kemajuan pesat sains dan teknologi; perubahan lanskap ekonomi kepada ekonomi yang berasaskan pengetahuan dan inovasi; pengharapan serta permintaan tinggi daripada industri; serta pelbagai isu global yang melanda dunia. Segalanya juga telah banyak menuntut perubahan dalam pendekatan dan pelaksanaan fungsi yang dimainkan oleh sektor pengajian tinggi itu sendiri, ke arah yang lebih berorientasikan kepada keperluan ekonomi serta yang dapat memenuhi pengharapan keperluan dunia pada masa hadapan.
Sehubungan dengan itu, menyedari akan kepentingan untuk membicarakan segala cabaran yang dihadapi oleh sektor pengajian tinggi secara kolektif dan bersama, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan Global Higher Education Forum 2009 di Pulau Pinang. Ianya merupakan kali pertama forum seumpama ini dianjurkan oleh KPT yang turut melibatkan beberapa agensi daripada beberapa buah negara termasuklah Centre for Higher Education Research and Study (CHERS), Ministry of Higher Education, Saudi Arabia; Association of African Universities (AAU); selain Consortium for North American Higher Education Collabaration (CONAHEC). Forum selama 4 hari telah bermula sejak Ahad, 13 November lalu dan akan berakhir pada Rabu, 16 November ini. Dengan tema Current Trends, Future Perspectives pula, ianya akan mengetengahkan pelbagai tajuk, topik dan isu perbincangan mengenai pengajian tinggi yang akan turut menjurus kepada beberapa sub-tema termasuklah:- (i) Higher Education Regionalisation and Harmonisation; (ii) Higher Education in a Globally Competitive World – From a Tradable to a Competitive Commodity; (iii) Higher Education in Times of Global Financial and Economic Turbulence; dan (iv) Scenarios for Higher Education Futures.
Penganjuran forum kali ini bukan sahaja telah berjaya mengumpulkan seramai 213 peserta yang terdiri daripada pakar-pakar serta para pemimpin akademik dari 32 buah negara, malah para peserta forum juga adalah terdiri daripada para cendiakawan, penggubal dasar, barisan penyelidik serta pihak-pihak berkepentingan dalam dunia pengajian tinggi di peringkat global.
Usaha serta pendekatan yang diambil oleh pihak Kementerian ini sebenarnya merupakan antara inisiatif untuk mengetengahkan isu serta cabaran yang dihadapi dalam bidang pengajian tinggi di peringkat global. Ini lantaran ilmu dan pengetahuan itu sendiri sebenarnya bersifat global serta tidak mempunyai sebarang sempadan, maka ianya perlu terus dibincangkan secara menyeluruh dan lebih terbuka. Tambahan pula, adalah menjadi sesuatu yang kita tidak dapat nafikan bahawa pendidikan juga sebenarnya bersifat merentas generasi (trans-generational). Oleh yang demikian, setiap isu serta cabaran yang dihadapinya juga perlu terus diketengahkan di peringkat global, dalam usaha untuk mencari strategi penyelesaian terbaik dan lebih menyeluruh kepada setiap cabaran yang timbul. Maka Global Higher Education Forum 2009 ini dilihat mampu untuk memainkan peranan tersebut, serta dijadikan medan pertemuan selain platform perbincangan bersama kepada setiap pihak berkepentingan yang menyertainya. Inilah manifestasi kepada konsep collegiality in higher education yang dipelopori oleh Malaysia, sebagai komitmen dan kesungguhan negara dalam sama-sama menangani pelbagai isu pengajian tinggi di peringkat yang lebih tinggi.
Selain daripada itu, kesediaan IPT tempatan seperti USM untuk sama-sama menghadapi cabaran-cabaran tersebut turut dizahirkan melalui penganjuran forum seperti ini. Kehadiran para peserta dari 32 buah negara serantau jelas merupakan satu pengiktirafan terhadap sumbangan dan peranan yang dimainkan oleh pihak Kementerian dan USM, dalam menyokong usaha untuk mencari satu kaedah pendekatan terbaik bagi menghadapi setiap kecenderungan terkini serta perspektif masa hadapan sektor pengajian tinggi di setiap peringkat. Ianya antara lain merupakan medan perbincangan terbaik bagi para peserta dari pelbagai negara dan latar belakang untuk membentuk jalinan hubungan kerjasama erat antara mereka.
Saya sekali lagi mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak penganjur atas jemputan yang saya telah terima untuk menyempurnakan upacara perasmian forum berkenaan pada pagi semalam (Isnin, 14 November). Harapan saya semoga persidangan yang sedang berlangsung ini memberi seribu satu manfaat kepada para peserta yang mengikutinya.