Sumber: Utusan Malaysia (19 Disember 2009)
Konsep hubungan di antara kaum di bawah gagasan 1Malaysia khususnya dari segi pendidikan lebih sesuai dilaksanakan menerusi konsep perimbangan berbanding konsep kesaksamaan atau meritokrasi, kata Menteri Pengajian Tinggi Y.B Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin.
Salah satu contoh hasil konsep perimbangan ialah penubuhan Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi memberi peluang lebih ramai lagi kaum Bumiputera mendapat pengajian tinggi untuk mengubah taraf sosio-ekonomi mereka, kata beliau.
Mohamed Khaled berkata demikian di dalam ucaputamanya di Konvensyen Siswa/Siswi FELDA 2009 sempena Karnival Ikatan Hati Warga Felda (IKTIRAF) 2009 di kampus induk UiTM di sini hari ini (Jumaat, 18 Disember 2009).
Beliau berkata perasaan tidak puas hati yang timbul di kalangan kaum lain kerana konsep perimbangan ini mungkin disebabkan kerana tidak ada kefahaman yang jelas.
Jika tanpa konsep perimbangan ini, mungkin 5,000 penuntut daripada 8,000 anak-anak FELDA di institusi pengajian tinggi tempatan akan terus berada di tanah rancangan sedangkan mereka mempunyai potensi untuk digilap sebagai modal insan yang berkebolehan untuk menyumbang kepada kejayaan negara, katanya.
Di bawah konsep 1Malaysia, Mohamed Khaled berkata perbezaan budaya dan agama di antara kaum-kaum di Malaysia diiktiraf tetapi janganlah sehingga perbezaan itu merosakkan atau menghalang perpaduan.
“Sebab itulah sebagai orang Melayu kita ingin berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum-kaum yang lain. Kita perlu mempunyai kekuatan dan kekuatan yang ada berasaskan kepada ilmu yang kita berpeluang dapat pada hari ini,” katanya.
Dalam soal 1Malaysia dan hubungan kaum, beliau berkata ada pihak yang menyatakan hubungan itu perlu berasaskan kepada kesaksamaan tiga kaum (Melayu dan Bumiputera, Cina dan India) daripada segi tuntutan dan harapan tetapi kesaksamaan belum tentu akan memberikan keadilan.
“Kalau kita ikut hukum Faraid (pembahagian harta) agama Islam , orang lelaki tidak akan dapat sama dengan orang perempuan. Orang perempuan dapat kurang daripada orang lelaki, tetapi Islam itu adil kerana orang perempuan kalau dapat Faraid itu hak dia seorang (mutlak) kalau orang lelaki dapat, dia kena bagi ibunya, isterinya dan anak-anaknya,” katanya.
Orang Melayu dan Bumiputera diberi peluang lebih untuk mendapat pengajian tinggi atas faktor sejarah dan peratusan majoriti kumpulan ini di dalam jumlah penduduk negara, kata Mohamed Khaled.
Mohamed Khaled berkata: “Setiap tahun kita mempunyai 30,000 tempat (universiti) dan setiap tahun orang Melayu yang mohon lebih daripada 40,000, kaum Tionghua 10,000, India dalam tujuh ke lapan ribu. Kalau nak bagi saksama seorang (satu kaum) mendapat 10,000 maka orang Melayu akan kurang yang dapat.
“Maka adil ke tak adil? Tentu tidak adil, maka sebab itulah hubungan kesaksamaan itu tidak boleh dijayakan dalam konteks negara berbilang kaum seperti Malaysia kerana asasnya berbeza.
“Ada yang kata hubungan itu perlu berasaskan kepada soal pasaran bebas yang mana ukuran siapa patut mendapat tempat atau peluang mesti berasaskan kepada kecemerlangan,” katanya.
Sedangkan dalam era globalisasi jika sesebuah negara itu tidak bersedia atau berkemampuan dan tidak membuat sebarang persiapan ia akan gagal dalam persaingan, katanya.
Mohamed Khaled berkata begitu juga dalam sesebuah negara jika mereka yang miskin tidak dibantu tetapi dipaksa bersaing dengan orang yang berada dan berkemampuan sudah tentulah mereka akan kalah serta tidak mendapat peluang dan tempat.
“Harus diingat soal pasaran terbuka (meritokrasi) telah kita gunakan sebelum tahun 1969 akibatnya ramai yang berasa tidak puas hati,” katanya lagi.