Memugar nilai kemanusiaan sejagat

Pelbagai bidang di IPT membina jati diri, keampuhan bangsa

SEJARAH dan perkembangan dunia memperlihatkan kita akan pelbagai peristiwa penting yang berlaku. Landskap dunia yang kita hadapi sekarang adalah hasil daripada perjalanan dunia yang panjang dan sebahagiannya berakhir dengan tragedi dan kemusnahan.

Peperangan yang berlaku misalnya, mengorbankan banyak jiwa yang tidak berdosa. Ia mengingatkan kita bagaimana pencapaian manusia jika tidak diseimbang dengan nilai-nilai kemanusiaan bakal memusnahkan kehidupan alam dan manusia itu sendiri. Faktor seperti perlumbaan senjata, ketamakan kuasa dan mengutamakan kepentingan peribadi berbanding kepentingan awam sering kali menjadi pendorong kenapa peperangan boleh berlaku.

Perang Dunia Kedua misalnya yang menyaksikan 35 juta hingga 50 juta manusia terkorban adalah kesan kepada keserakahan kuasa dunia pada ketika itu untuk menonjolkan kuasa sehingga sanggup mengetepikan nilai kemanusiaan. Perang global melawan pengganas yang diketuai Amerika Syarikat (AS) sejak 2001, dikritik hebat pelbagai pihak kerana ia hanya menjadi alat kepada kuasa dunia itu untuk memperluaskan hegemoni mereka. Sehingga kini, kempen itu dikatakan gagal membendung kegiatan pengganas sebaliknya hanya menjadikan manusia yang tidak berdosa sebagai mangsa.

Justeru, kempen Malaysia untuk menjenayahkan perang atau ‘criminalize war’ dianggap relevan kerana perang hanya menjanjikan kemusnahan, bukannya kedamaian seperti diharapkan. Saya tidak berminat untuk menghuraikan lebih lanjut dalam hal ini, tetapi apa yang menarik perhatian saya ialah kepentingan nilai kemanusiaan dan bagaimana nilai itu berdepan pelbagai cabaran untuk bertahan dalam konteks kehidupan manusia.

Kita akui bahawa kehidupan manusia semakin kompleks dan kemajuan sains dan teknologi mentransformasikan gaya hidup mereka. Penemuan teknologi yang terkini dan canggih sering menjadi petunjuk kepada pencapaian manusia. Namun, kita juga harus sedar bahawa hal berkenaan bukanlah jaminan kepada kehidupan manusia yang lebih baik. Dalam erti kata lain, sains dan teknologi bukanlah jawapan mutlak kepada penyelesaian manusia.

Kemajuan sains dan teknologi mesti dikendalikan oleh manusia yang mempunyai nilai kemanusiaan tinggi. Jika tidak, kemajuan itu hanyalah sia-sia kerana ia tidak digunakan untuk kebaikan manusia dan sejagat. Apa guna kemajuan dan pencapaian jika ia hanya mempamerkan keangkuhan dan kebobrokan manusia saja? Dalam konteks institusi pengajian tinggi negara, saya sering ditanya apakah bidang kemanusiaan itu dipinggirkan? Apakah bidang berkenaan kurang mendapat tempat kerana tiada nilai komersialnya berbanding bidang sains atau teknikal?

Persoalan ini datang daripada ahli akademik dalam bidang kemanusiaan yang khuatir akan masa depan mereka dan lebih penting, bidang yang mereka wakili. Secara peribadi, saya berkongsi keresahan mereka itu dan menyedari juga bagaimana bidang kemanusiaan perlu dikekalkan. Saya melihat bidang kemanusiaan yang ditawarkan di universiti seperti pendidikan, bahasa, psikologi, muzik mahupun sains sosial yang meliputi sejarah mesti diperjuangkan kelestariannya kerana bidang inilah yang akan membina jati diri dan keampuhan bangsa kita.

Bidang sejarah misalnya mesti diperkukuhkan sehingga mampu menarik minat pelajar untuk diambil sebagai program pilihan. Memang tidak dapat dinafikan bahawa bidang sejarah tidak begitu popular di kalangan pelajar IPT. Malah ada yang melihat bidang seumpama ini sudah ketinggalan zaman dan tidak menawarkan pekerjaan yang baik. Peminat sejarah didakwa hanya bersifat romantisme dan terpengaruh dengan kisah dan cerita lama semata-mata. Sejarah dilihat tidak lagi penting malah dianggap sebagai beban kepada masa depan.

Persepsi ini mesti diperbetulkan kerana sejarah amat penting terutama dalam memahami proses pembinaan negara bangsa. Bagaimana kita mahu mencorakkan masa depan negara tanpa sejarah? Bagaimana kita mahu memupuk semangat patriotisme jika tidak dengan sejarah? Bagaimanapun dalam hal ini, saya melihat bidang kemanusiaan di universiti secara keseluruhannya masih mendapat tempat dalam sektor pengajian tinggi negara.

Buat pertama kalinya dalam Ekspo Penyelidikan dan Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (Pecipta) 2009 yang lalu, mempamerkan hasil kajian penyelidikan dalam bidang kemanusiaan dan sains sosial. Malah, kajian Geografi Pilihan Raya oleh penyelidik Universiti Malaya (UM) berjaya mendapat pingat emas dalam ekspo terbesar IPT itu. Dalam konteks ini, kita harus faham bahawa hasil penyelidikan sains sosial dan kemanusiaan tidak boleh dijelmakan dalam bentuk produk seperti hasil penyelidikan bidang sains dan teknologi.

Akan tetapi ia boleh digunakan oleh agensi kerajaan mahupun swasta bagi menambah baik dasar mahupun polisi yang berkaitan dengan pembangunan negara. Saya difahamkan juga, wujud banyak institusi dan pusat penyelidikan dalam bidang kemanusiaan di universiti. Di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) misalnya, mereka mempunyai pelbagai institut atau pusat seperti Institut Kajian Etnik (Kita), Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas), Institut Kajian Oksidental (Ikon), Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Institut Kajian Rantau Asia Barat (Ikrab) dan Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari).

Begitu juga di UM, kita turut mempunyai Institut Asia Eropah manakala Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Malaysia (IPPTN) di Universiti Sains Malaysia (USM) dan Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir di Universiti Utara Malaysia (UUM). Selaras dengan ucapan saya pada Persidangan Serantau Mengenai Kemanusiaan di Universiti Teknologi Petronas (UTP) tahun lalu, saya menggesa supaya kewujudan institut atau pusat penyelidikan kemanusiaan ini akan dapat mempertingkatkan komitmen mereka dan memperkukuhkan hubungan dengan masyarakat di luar kampus.

Mereka harus dilihat sebagai intelektual awam, bukan intelektual yang hanya berkongsi ilmu dan maklumat sesama mereka saja. Hal ini penting kerana dalam usaha menyedarkan kefahaman masyarakat mengenai pentingnya nilai-nilai kemanusiaan, ahli akademik dan penyelidik mesti turun padang dan berkongsi ilmu dan maklumat. Tiada gunanya hasil penyelidikan yang ada hanya disimpan di jurnal dan ia digunakan hanya untuk tujuan kenaikan pangkat semata-mata.

Selain itu, saya juga berpandangan bidang kemanusiaan tidak seharusnya bergerak secara bersendirian. Golongan ilmuwan dan akademik perlu berinteraksi dengan bidang lain seperti sains dan teknologi supaya ia mampu menjalin satu garapan ilmu yang lebih komprehensif, bersesuaian dengan dunia yang semakin bersifat ‘connectiveness’. Isu seperti pemanasan global, inovasi teknologi dan kesan globalisasi misalnya perlu dilihat dalam konteks kedua-dua bidang kerana saya percaya gabungan sains dan kemanusiaan mampu melahirkan satu hasil dapatan lebih tepat dan menyeluruh.

Saya tinggalkan tulisan ini dengan legasi pemikiran pemimpin hebat dari India, Mohandas K Ghandhi. Beliau ada menyebut mengenai tujuh jenis dosa yang dilakukan manusia. “Kekayaan tanpa usaha, keseronokan tanpa nilai, sains tanpa kemanusiaan, ilmu tanpa amal, politik tanpa prinsip, perniagaan tanpa moral dan pengabdian tanpa pengorbanan.”

Leave a Comment

Please note: Comment moderation is enabled and may delay your comment. There is no need to resubmit your comment.