bub
Blog

Universiti tempat terbaik semai nilai integriti

Posted in: Ministry of Higher Education on March 30, 2010

Sikap amanah, bertanggungjawab laksana tugas patut jadi amalan bersepadu masyarakat kita

Kita tidak dapat menafikan bahawa integriti adalah istilah amat popular dan ‘dekat’ di hati masyarakat kita masa kini. Dalam konteks masyarakat yang semakin kritikal dan terdedah kepada ledakan maklumat serta pengaruh sejagat, nilai integriti seperti amanah, jujur dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas adalah perkara yang sering diperkata dan diperdebatkan.
Bagaimanapun, kita mendapati nilai integriti ini sering kali dituju dan dihalakan kepada golongan tertentu seperti pemimpin dan ahli politik saja. Sebaliknya, nilai integriti ini seharusnya menjadi amalan semua golongan tanpa mengira status mereka kerana ia menjadi nadi dan tunjang kepada keperibadian kita sebagai seorang insan yang sebaik-baik kejadian.
Dalam konteks sektor pengajian tinggi, persoalan integriti amat penting kerana ia mendukung matlamat untuk kita mencapai kecemerlangan. Pelan Strategi Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) yang mahu menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pengajian tinggi menjelang 2020 misalnya, amat bergantung kepada sejauh mana kita mampu menerap nilai integriti dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab diamanahkan.

Jika kita gagal mendukung nilai integriti dan mengamalkan budaya kecincaian atau mediocre dalam kerja dan tugasan kita seperti dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini, kita tidak mungkin mencapai kecemerlangan itu.

Dalam konteks sektor institusi pengajian tinggi (IPT), nilai integriti amat penting, apatah lagi apabila kita mengaitkannya dengan kedudukan universiti sebagai pusat perkembangan ilmu dan tamadun sesebuah bangsa. Sebagai pusat perkembangan ilmu dan tamadun berwibawa dan bertanggungjawab melahirkan cerdik pandai, universiti mesti dilihat sebagai satu tempat yang tepat untuk mempertahan dan memperkasakan nilai integriti ini.

Justeru, kepentingan melaksanakan nilai integriti di universiti bukanlah suatu pilihan, tetapi suatu kewajipan. Penerapan nilai integriti di universiti juga wajar disokong oleh komponen pentingnya seperti ahli akademik, pegawai tadbir dan profesional, kakitangan sokongan mahupun pelajar.
Oleh itu, jika ahli akademik sendiri tidak menunaikan tanggungjawab mereka sebagai ahli akademik dengan amanah atau gagal menjadi contoh terbaik, sudah tentu mereka tidak akan mampu melahirkan graduan berintegriti dan berkualiti.

Pelaburan besar disediakan kerajaan menerusi peruntukan dan dana untuk penyelidikan juga amat menuntut nilai integriti tinggi di kalangan ahli akademik. Dari 2006 hingga 2009, kerajaan meluluskan penyelidikan berjumlah 13,185 bernilai RM270 juta. Untuk 2010 saja, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM52 juta bagi menaja 3,490 aktiviti penyelidikan.

Dana yang besar untuk membiayai penyelidikan ini akan menjadi sia-sia sekiranya penyelidik di kalangan ahli akademik gagal melaksanakan tugas penyelidikan dengan amanah apatah lagi menyalahgunakannya untuk tujuan lain.

Oleh kerana itu, ahli akademik harus memastikan setiap dana yang diperuntukkan dalam penyelidikan mereka membawa pulangan yang bukan saja memberi manfaat kepada dirinya, malah yang lebih penting, hasil penyelidikan itu dapat mencipta kemewahan kepada negara dan rakyatnya.

Dalam konteks kenaikan pangkat di universiti juga, soal integriti amat penting. Ahli akademik yang dinaikkan pangkat mestilah memenuhi syarat ditetapkan supaya mereka yang benar-benar layak diberikan pengiktirafan.

Keputusan kerajaan memperbaiki skim gaji di kalangan profesor untuk dinaikkan pangkat ke gred tertinggi turus baru-baru ini turut menuntut satu proses telus dan tulus. Jika kita gagal meletakkan calon terbaik atau melonjakkan calon yang tidak layak atas dasar ‘pilih bulu’, kita sendiri mencemarkan kemuliaan komuniti keilmuan profesor itu sendiri.

Justeru, usaha promosi untuk memperkukuh dan memperkasakan integriti akademik di universiti mesti diperbaiki dari semasa ke semasa. Satu kajian diusahakan kumpulan penyelidik institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bertajuk ‘Pelan Pengukuhan Wibawa Integriti dan Profesionalisme Akademik’ mendapati usaha mempromosi integriti akademik (di kalangan ahli akademik) tidak mencukupi kerana kempen integriti hanya bertumpu kepada soal pengurusan dan pentadbiran universiti.

Perkembangan ini wajar dilihat secara serius oleh universiti supaya integriti akademik diberikan fokus dan keutamaan sewajarnya. Justeru, salah laku yang berlaku di universiti membabitkan integriti akademik seperti kes penipuan, plagiat, menerbitkan hasil kerja orang, pemalsuan dokumen dan maklumat, ketidakadilan, peniruan, penyalahgunaan kuasa, ketidakhadiran bekerja, ahli akademik berprestasi rendah, politik pejabat yang menyebabkan persaingan negatif dan penghakisan kebebasan akademik, mesti dipandang berat oleh warga universiti.

Pada masa sama, pelajar juga turut mempunyai tanggungjawab besar dalam soal integriti ini. Mereka tidak boleh hanya memerhatikan pihak lain sambil menuding jari, mencari salah dan silap pihak lain. Kes berlaku seperti meniru, plagiat dan ponteng kuliah yang masih wujud dalam konteks pelajar menjelaskan kepada kita bahawa mereka juga tidak boleh lari daripada persoalan integriti. Justeru, sebagai seorang pelajar, mereka harus beriltizam untuk menuntut ilmu dan lebih penting, mereka harus jujur atas ilmu yang diperolehnya.

Sesungguhnya negara meletakkan harapan tinggi kepada sektor pengajian tinggi untuk menjayakan transformasi negara. Oleh itu, kita mempunyai tanggungjawab besar dan ia hanya akan dapat dilakukan jika kita memperkukuhkan nilai integriti ini sehingga menjadikannya sebagai ‘pakaian’ untuk setiap amalan kita.

Kita juga tidak mahu perbincangan nilai integriti ini bersifat retorik dan laungan semangat saja. Sebaliknya ia mesti diamal dan dilaksanakan secara bersepadu dan berterusan oleh kita semua.

Universiti sebagai gedung ilmu mesti menjadi tempat terbaik untuk memperkasa dan memperkukuhkan nilai integriti agar ia menjadi cerminan kepada masyarakat secara keseluruhannya.

tag

Leave Your Comment

* This are required fields.