1. Kerajaan telah bersetuju untuk meluaskan skop pembiayaan bantuan kewangan kepada pelajar OKU yang mengikuti pengajian di IPT tempatan meliputi bantuan wang saku dan yuran pengajian. Pelaksanaan pemberian ini merupakan tambahan kepada program bantuan kewangan sedia ada iaitu bantuan wang saku sebanyak RM300 sebulan bagi semua kategori pelajar OKU di IPT yang mengikuti pengajian peringkat Diploma ke atas secara sepenuh masa di IPT tempatan. Bantuan kewangan yang baru ini meliputi pengajian sepenuh masa dan separuh masa di IPTA dan IPTS tempatan.
2. Selain bantuan kewangan pelajar OKU di IPT, Kerajaan juga menyediakan bantuan kewangan kepada pelajar-pelajar OKU yang mengikuti program Sijil Kemahiran Khas di Politeknik dan Kolej Komuniti iaitu khusus bagi pelajar kurang upaya pendengaran.
3. Perluasan ini merangkumi perkara berikut :
i. Bagi pelajar OKU di IPT tempatan yang belajar secara sepenuh masa, bantuan meliputi perbelanjaan bagi yuran pengajian dan wang saku yang kedua-duanya diberi pada kadar tidak melebihi RM5,000 setahun atau RM20,000 bagi sepanjang tempoh pengajian; dan
ii. Bagi pelajar OKU IPT tempatan secara separuh masa/pengajian jarak jauh, bantuan diberi pada kadar tidak melebihi RM5,000 setahun atau RM20,000 bagi sepanjang tempoh pengajian meliputi perbelanjaan bagi yuran pengajian sahaja.
4. Skop pembiayaan adalah tertumpu kepada institusi yang terletak di bawah pengurusan dan kawalan Kementerian Pengajian Tinggi iaitu semua IPTA, IPTS, politeknik dan kolej komuniti sahaja yang mengikuti pengajian tertiari iaitu peringkat diploma dan ke atas sahaja (Pertimbangan khas boleh diberikan kepada pelajar peringkat sijil jangka panjang di Politeknik dan Kolej Komuniti).
5. Syarat utama untuk melayakkan bantuan ini ialah pelajar berkenaan perlu berdaftar dengan Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) dan mengikuti kursus peringkat tertiari yang diiktiraf oleh MQA. Kaedah pemberian dan permohonan boleh dirujuk Surat Pekeliling Kementerian Pengajian Tinggi Bil. 1/2010 dan portal kementerian di URL www.portal.mohe.gov.my/biasiswa/oku-ipt . Perluasan program ini berkuatkuasa mulai 1 April 2010.
6. Perluasan pemberian program ini adalah salah satu usaha Kementerian untuk menggalakkan lagi pelajar-pelajar OKU meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka. Perluasan ini juga adalah salah satu usaha meluaskan akses pengajian tinggi kepada rakyat dalam kategori istimewa selaras dengan matlamat Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN).
7. Dari tahun 2006-2009, Kementerian Pengajian Tinggi telah menyediakan bantuan kewangan untuk 1205 pelajar dengan purata tajaan baru sebanyak 330 pelajar setahun. Melalui perluasan ini, dijangkakan hampir 450 pelajar OKU yang baru dapat menikmati kemudahan ini pada setiap tahun.
8. Manakala pelajar OKU yang mengikuti program Pendidikan Khas di Politeknik, jumlah mereka yang ditaja dari tahun 2006 hingga 2009 adalah 478 orang.
9. Peruntukan yang disediakan untuk membiayai program ini adalah RM4.425 juta setahun iaitu pertambahan sebanyak RM 2.15 juta (94%) berbanding peruntukan tahun 2009 (RM2.268 juta).
10. Maklumat lanjut mengenai program Bantuan Kewangan Pelajar OKU IPT ini boleh diakses melalui URL berikut : www.portal.mohe.gov.my/biasiswa/oku-ipt
Mohamed Khaled Nordin
Kementerian Pengajian Tinggi
Julai 2010