Assalamualaikum dan salam 1Malaysia,
Pada 07 Julai 2010 lalu, saya meluangkan masa hampir 2 jam di Kolej Za’ba, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Menariknya kolej ini adalah kerana ia menyediakan insfrastruktur yang lengkap untuk para pelajar kurang upaya (OKU). Saya melihat sendiri kemudahan dan suasana yang disediakan oleh pihak pengurusan Universiti Malaya (UM) dan Kolej Za’ba kepada para pelajar OKU ini dengan lebih dekat. Ternyata, kemudahan yang disediakan mampu memudahkan para pelajar OKU untuk terus belajar di peringkat IPTA terutama di UM.
Tidak dinafikan, kehidupan sebagai seorang pelajar OKU amat mencabar lebih-lebih lagi ketika menuntut ilmu di peringkat menara gading. Namun, dengan kemudahan yang pelbagai dan spesifik seperti di UM ini, saya yakin dan percaya bahawa semangat dan iltizam para pelajar OKU untuk terus belajar tidak akan luntur dan lemah. Oleh yang demikian, pihak kerajaan telah bersetuju untuk memberi pelbagai insentif dan sumbangan kepada golongan yang memerlukan ini.
Antara bantuan kerajaan terhadap para pelajar OKU yang telah saya umumkan baru-baru ini di UM ialah Pelaksanaan pemberian ini merupakan tambahan kepada program bantuan kewangan sedia ada iaitu bantuan wang saku sebanyak RM300 sebulan bagi semua kategori pelajar OKU di IPT yang mengikuti pengajian peringkat Diploma ke atas secara sepenuh masa di IPT tempatan. Bantuan kewangan yang baru ini meliputi pengajian sepenuh masa dan separuh masa di IPTA dan IPTS tempatan.
Selain itu, bagi pelajar OKU di IPT tempatan yang belajar secara sepenuh masa pula, bantuan meliputi perbelanjaan bagi yuran pengajian dan wang saku yang kedua-duanya diberi pada kadar tidak melebihi RM5,000 setahun atau RM20,000 bagi sepanjang tempoh pengajian; dan bagi pelajar OKU IPT tempatan secara separuh masa/pengajian jarak jauh, bantuan diberi pada kadar tidak melebihi RM5,000 setahun atau RM20,000 bagi sepanjang tempoh pengajian meliputi perbelanjaan bagi yuran pengajian sahaja.
Selamat maju jaya,
Mohamed Khaled Hj Nordin