UCAPAN DI HIMPUNAN BULANAN KPT DAN MAJLIS PELANCARAN BUKU KAJIAN KES BERSEPADU PROGRAM PERAKAUNAN DAN KAJIAN HALATUJU BIDANG PENGAJIAN

UCAPAN MENTERI PENGAJIAN TINGGI
YB. DATO SERI MOHAMED KHALED NORDIN
HIMPUNAN BULANAN KPT DAN
MAJLIS PELANCARAN BUKU KAJIAN KES BERSEPADU PROGRAM PERAKAUNAN DAN KAJIAN HALATUJU BIDANG PENGAJIAN
8.30 PAGI, 20 JULAI 2010, AUDITORIUM PARCEL E.

Assalamualaikum wrt. wbt., Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia,

Yang dihormati tuan pengerusi majlis,

Yang Berhormat, Dr. Hou Kok Chung,

Yang Berhormat, Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan-timbalan Menteri,

Yang Berbahagia, Tan Sri Dr. Zulkifli A. Hassan, Ketua Setiausaha KPT

Yang Berbahagia, Timbalan-timbalan Ketua Setiausaha KPT,

Yang Berbahagia, Dato Dr. Ir. Radin Umar Radin Sohadi, Ketua Pengarah JPT,

Naib-naib Canselor IPTA dan IPTS

Ketua-ketua Pengarah Politeknik dan Kolej Komuntii,

Tetamu-tetamu kehormat,

Pegawai-pegawai kanan KPT,

Seterusnya hadirin dan hadirat sekalian.

1. Pertamanya, sukalah saya melafazkan setinggi kesyukuran ke hadrat Allah Taala kerana dengan limpah dan kurnia-Nya, maka dapatlah kita bersama-sama berkumpul dalam majlis pada pagi yang berbahagia ini. Setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih saya ucapkan kepada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) selaku urus setia perhimpunan pada hari ini dan Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) kerana telah mengundang saya sekaligus diberikan peluang untuk menyampaikan ucapan pada pagi ini. Dalam majlis ini juga nanti, kita akan menyaksikan satu ‘Pelancaran Buku Kajian Kes Bersepadu Program Perakaunan Dan Kajian Hala tuju Bidang Pengajian’ yang julung kali diadakan ini. Saya percaya majlis pelancaran buku yang bakal kita jayakan sebentar nanti mencerminkan komitmen dan iltizam Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) khususnya dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) amnya dalam usaha merancakkan peranan sektor pengajian tinggi yang kritikal dalam agenda pembangunan negara. Ia juga membuktikan bahawa sektor pengajian tinggi negara sentiasa proaktif dan ke hadapan selari dengan arus perkembangan dan tuntutan semasa.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
(MKRA Versi 2, Pengantarabangsaan dan Penjenamaan Semula MSD)

2. Sejak Perhimpunan Bulanan terakhir yang kita adakan pada 13 April yang lalu, kita telah berjaya melaksana dan melancarkan pelbagai program dan inisiatif. Ini termasuklah pembentangan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe 10), Penganugerahan Swaarkreditasi kepada 8 IPT, Pengumuman Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi (SETARA) kepada 58 universiti dan kolej universiti tempatan, Program Pengukuhan Kolej Komuniti dan terbaharu, pelancaran Pelan Pengukuhan Kerjasama Universiti, Industri dan Masyarakat. Di kesempatan ini, saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan tahniah atas komitmen dan iltizam yang telah ditunjukkan oleh warga kementerian bagi memastikan program-program tersebut dilaksanakan dengan jayanya. Saya percaya, pelaksanaan program-program ini mempunyai matlamat yang besar khususnya dalam usaha mempertingkatkan peranan kritikal sektor pengajian tinggi dalam membangunkan modal insan yang berkualiti di negara.

3. Selain itu juga, kita telah menetapkan KRA dan KPI kementerian dan ini tidak termasuk KRA dan KPI bagi setiap CAP atau Agenda Kritikal dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN). Mulai tahun 2009, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah menetapkan 4 bidang keberhasilan utama (MKRA) bagi mengukur prestasinya iaitu akses dan kualiti, kebolehpasaran graduan, pengantarabangsaan dan penyelidikan, dan pembangunan. Bagi memperkukuhkan MKRA versi pertama itu, pada tahun ini, KPT telah menetapkan MKRA versi 2 yang merupakan kesinambungan kepada MKRA tahun 2009. MKRA versi 2 ini menumpukan kepada tiga usaha iaitu pertama, memperkukuhkan kualiti pengajian tinggi, kedua, sumbangan kepada ekonomi dan kewangan negara dan ketiga, sumbangan kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat.

4. Bagi tujuan itu, sebanyak 18 Petunjuk Prestasi Utama atau KPI telah ditetapkan, yang antara lain lainnya termasuklah pengiktirafan Malaysian Qualifications Framework (MQF), bilangan tenaga akademik antarabangsa institusi pengajian tinggi (IPT), bilangan cawangan kampus universiti luar tenama, peratus kakitangan akademik berkelayakan PhD, penjanaan pendapatan IPT, penambahan jumlah dana penyelidikan dan pembangunan (R&D), pengkomersialan produk R&D, jumlah pendapatan negara daripada pelajar antarabangsa dan sebagainya.

5. Bagi menjaya dan merealisasikan semua MKRA dan KPI seperti yang dinyatakan sebentar tadi, beberapa perkara perlu diambil pertimbangan. Langkah ini cukup penting apatah lagi ia melibatkan agenda besar negara untuk mengantarabangsakan sektor pengajian tinggi. Ini termasuklah bagaimana kita memerlukan sebuah organisasi yang mantap, kukuh dan relevan yang mampu menangani tuntutan global yang semakin kompleks. Sehubungan dengan ini, pihak kementerian telah mengkaji semula struktur organisasinya dan membuat keputusan untuk menjenamakan semula organisasi dan fungsi Jabatan Penuntut Malaysia atau MSD dan Pejabat Promosi Pendidikan Malaysia (MEPC) di luar negara. Ini antara lain bertujuan supaya fungsinya tidak hanya tertumpu kepada peranan konvensionalnya iaitu menjaga kebajikan pelajar di luar negara, sebaliknya memberi tumpuan utama kepada peranan yang lebih strategik. Peranan baharu ini akan merentasi aspek-aspek pengantarabangsaan yang merupakan agenda kritikal bagi membantu kementerian merealisasikan hasrat dan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pengajian tinggi serantau dan antarabangsa menjelang tahun 2020.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

6. Penjenamaan semula ini akan melibatkan penggabungan MSD dan MEPC menjadi sebuah entiti baharu di bawah Kementerian Pengajian Tinggi yang dinamakan sebagai Education Malaysia. Penjenamaan ini adalah langkah tepat bagi mencerminkan fungsi-fungsi terasnya yang akan dilaksanakan oleh organisasi ini di samping dapat mempromosikan jenama pengajian tinggi di Malaysia dalam usaha negara menjadi hab kecemerlangan pengajian tinggi serantau dan antarabangsa. Enam fungsi teras tersebut adalah:
6.1 pengantarabangsaan;
6.2 pembangunan, penyelidikan dan perkomersialan;
6.3 kecemerlangan akademik;
6.4 kebajikan dan pembangunan jati diri pelajar;
6.5 pemasaran dan promosi pengajian tinggi dan
6.6 sumber rujukan serta intelligence gathering.

7. Saya percaya melalui keenam-enam fungsi teras baharu ini, Education Malaysia akan berperanan sebagai organisasi strategik dan bertindak sebagai one stop centre bagi semua aspek berkaitan pengajian tinggi negara kepada semua kumpulan yang berkepentingan di luar negara termasuklah pelajar Malaysia dan antarabangsa, institusi-institusi pengajian dan pihak-pihak lain sama ada di dalam dan di luar negara. Dari segi pelaksanaannya, Education Malaysia dicadangkan mempunyai 19 lokasi pejabat di luar negara. Memandangkan pengwujudan Education Malaysia ini melibatkan kos yang agak tinggi dan mengambil kira kedudukan ekonomi semasa negara, maka pelaksanaannya akan dibuat melalui 3 kaedah iaitu pertama, menggunakan pejabat sedia ada, kedua, memindahkan pejabat MSD dan MEPC sedia ada dan ketiga, menggunakan khidmat pegawai Wisma Putra atau JPA sehingga wujud keperluan untuk menubuhkan pejabat Education Malaysia di negara berkenaan.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
(Kualiti Pengajian Tinggi melalui Potensi Universiti Penyelidikan)

8. Dalam usaha kita memperkukuhkan jenama Malaysia di luar negara melalui sektor pengajian tinggi, kita harus akui bahawa ia hanya boleh dilaksanakan secara efektif sekiranya kita mempunyai mutu dan kualiti pengajian tinggi yang boleh dibanggakan. Hanya dengan kekuatan itu, kita mampu menarik minat pihak antarabangsa sekaligus meyakinkan mereka memilih Malaysia sebagai destinasi dan rakan kongsi strategik pengajian tinggi mereka. Menyedari kepentingan itu, kita telah meletakkan sasaran untuk memperkasakan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sebagai salah satu teras kepada Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN), yang antara inisiatifnya, mewujudkan universiti penyelidikan.

9. Selain itu, seiring dengan pemilihan tahun 2010 sebagai tahun kreativiti dan inovasi, pengwujudan Universiti Penyelidikan ini diharap akan mampu menjadi pemain utama inovasi dalam merancakkan lagi aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan. Peranan kritikal Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam menggerakkan aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan penyumbang kepada inovasi sememangya diiktiraf oleh kerajaan. Buktinya, bilangan universiti penyelidikan telah ditambah dengan pemilihan Universiti Teknologi Malaysia atau UTM sepertimana yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri sewaktu pembentangan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe 10) bulan lalu. Pemilihan UTM sebagai universiti penyelidikan kelima negara ini sebenarnya telah hampir melengkapkan sasaran kementerian untuk mewujudkan 6 buah universiti penyelidikan menjelang tahun 2020. Keenam-enam universiti penyelidikan ini dijangka akan menjadi enjin utama kepada aktiviti penyelidikan dan inovasi sekaligus menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan negara ke tahap yang lebih tinggi.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
(Pencapaian dan Kemajuan Universiti Penyelidikan)

10. Sejak kabinet meluluskan empat universiti penyelidikan pertama pada 11 Oktober 2006 yang lalu iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM), mereka telah diberikan banyak insentif dan ini termasuk dana penyelidikan yang besar berbanding universiti-universiti awam yang lain. Justeru itu, selepas tiga tahun pemilihannya, saya percaya bahawa pencapaian dan impak mereka mestilah diukur supaya usaha memperkasakan IPT dapat ditentukan kejayaannya. Sehubungan dengan itu juga, satu proses audit telah dilakukan terhadap keempat-empat universiti penyelidikan ini dengan menilai pencapaian mereka dalam tempoh tiga tahun bermula tahun 2007 sehingga tahun 2009. Hasil daripada audit yang dijalankan itu, secara keseluruhannya, keempat-empat universiti penyelidikan telah menunjukkan impak yang besar ke atas pencapaian bidang penyelidikan negara dan dalam penghasilan modal insan. Oleh itu, sukacita saya umumkan bahawa status keempat-kempat universiti penyelidikan ini boleh dikekalkan sebagai universiti penyelidikan untuk tempoh tiga tahun akan datang. Tahniah saya ucapkan.

11. Untuk makluman semua, pencapaian keempat-empat universiti penyelidikan ini merentasi empat aspek yang diukur iaitu modal insan, penerbitan, paten dan hak harta intelek (IPR) dan penjanaan pendapatan.

11.1 Dalam aspek modal insan misalnya, kita mendapati bilangan pelajar pasca siswazah telah meningkat daripada 29,794 pada tahun 2007 kepada 39,819 pada tahun 2009, iaitu peningkatan sebanyak 10,025 atau 34%.

11.2 Dalam aspek penerbitan pula, bilangan penerbitan dalam citation indexed journals turut meningkat daripada 2,303 pada tahun 2007 kepada 4346 pada tahun 2009, iaitu peningkatan sebanyak 2,043 atau 89%.

11.3 Aspek paten dan hak harta intelek (IPR) turut menyaksikan peningkatan daripada 217 pada tahun 2007 kepada 237 pada tahun 2009, iaitu peningkatan sebanyak 9%.

11.4 Selain itu, penjanaan pendapatan juga berlaku peningkatan daripada RM436 juta pada tahun 2007 kepada RM746.7 juta pada tahun 2009. Tahniah diucapkan.

12. Walau bagaimanapun, di sebalik kejayaan ini, saya berharap keempat-empat universiti penyelidikan yang dinilai ini tidak mudah berpuas hati, sebaliknya terus memperkukuhkan peranan mereka kerana saya dapati banyak lagi ruang yang boleh diperbaiki. Dalam soal pengkormersialan misalnya, kita masih jauh ketinggalan malah saya difahamkan peratusan dalam soal ini telah menurun daripada 4.3% pada tahun 2008 kepada 2.9% sahaja pada tahun lalu. Kita menjangkakan pada tahun ini, peratusan pengkomersialan dapat ditingkatkan kepada 3.5% yang bakal menjana pendapatan sebanyak RM37.6 juta.

13. Berdasarkan perkembangan ini, saya berharap kelima-lima universiti penyelidikan ini termasuk paling baharu, UTM dapat memikirkan hal ini secara serius termasuk mengambil langkah-langkah yang tepat dan sewajarnya termasuk memperkasakan hubungan mereka dengan pihak industri. Malah semalam, sewaktu berucap dalam majlis Pelan Pengukuhan Kerjasama Universiti, Industri dan Masyarakat, saya berpendapat sudah tiba masanya kita memperkenalkan strategi-strategi baharu serta dinamik dan ini termasuklah melalui pendekatan kluster dan knowledge transfer program yang bakal menguntungkan pelbagai pihak sama ada universiti, industri mahupun masyarakat.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
(Pelancaran buku Kajian Kes Bersepadu Program Perakaunan dan Kajian Hala tuju Bidang Pengajian)

14. Dalam kesempatan ini juga seperti saya umumkan di awal ucapan ini tadi, satu majlis pelancaran buku Kajian Kes Bersepadu Program Perakaunan dan Kajian Hala tuju Bidang Pengajian akan disempurnakan. Sememangnya penerbitan buku-buku ini khususnya kajian hala tuju bidang pengajian merupakan satu tindakan yang tepat dan terbaik kerana ia merungkaikan persoalan apakah kedudukan semasa program-program pengajian kita dan ke manakah arah hala tuju atau potensi program-program pengajian ini pada masa hadapan.

15. Sehingga kini, saya dimaklumkan bahawa Jabatan Pengajian Tinggi telah mengenal pasti 29 buah bidang pengajian utama yang akan menghasilkan laporan hala tuju. Dua bidang kajian hala tuju iaitu Perakaunan dan Kejuruteraan telah pun diterbitkan dan telah menjadi panduan dalam pemberian kelulusan ke atas sebarang semakan program lama atau cadangan program baru dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pendidikan Tinggi (JKPT). Ianya turut menjadi bahan rujukan dokumen rasmi kerajaan bagi mana-mana pihak yang memerlukan maklumat mengenai program tersebut.

16. Pada hari ini, sebanyak 6 buah buku kajian halatuju lagi iaitu Aeroangkasa, Ekonomi dan Pengurusan, Pengajian Islam, Pengajian Bahasa, Pengajian Muzik serta Pengurusan Komunikasi dan Media akan dilancarkan. Adalah menjadi harapan kementerian agar buku-buku kajian ini dijadikan sebagai panduan kepada Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam menentukan kriteria bagi cadangan penubuhan sekolah, fakulti, jabatan atau pun pusat sebelum menawarkan sesuatu program pengajian. Bukan itu sahaja, ia juga diharap dapat membantu IPT membuat perancangan strategik dalam menentukan keperluan peruntukan, sumber manusia, serta memastikan pembelian peralatan dan penyediaan kemudahan serta prasarana mematuhi spesifikasi dan tahap piawaian yang telah disarankan oleh Jawatankuasa Kajian.

17. Selain itu juga, dalam konteks penerbitan Buku Kajian Kes Bersepadu Program Perakaunan pula, ia merupakan salah satu produk komponen kajian kes dalam Student Centered Learning atau SCL yang dihasilkan oleh akademia dan pihak industri. Ini merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia dan akan digunakan oleh semua program perakaunan IPTdi negara. Melalui buku kajian kes ini, pelajar dapat melatih kemahiran artikulasi melalui kursus menyelesaikan masalah dalam tempoh masa yang ditetapkan. Ini penting kerana acapkali kita mendengar isu berkenaan graduan yang tidak dapat berkomunikasi dengan baik atau mengaplikasikan pengetahuan mereka di tempat kerja. Dengan corak pembelajaran sedemikian, adalah diharapkan sesi pembelajaran selepas ini menjadi lebih aktif dan interaktif, malah pelajar akan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas apa yang dipelajari dengan dibantu oleh pensyarah sebagai fasilitator.

18. Saya berharap dengan terhasilnya buku-buku kajian ini, ia akan dapat membantu kementerian dalam usaha menjayakan Teras 2 Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) iaitu Menambah Baik Kualiti Pengajaran Dan Pembelajaran. Penggunaan kaedah seperti pembelajaran berasaskan masalah dan kajian kes serta pembelajaran secara berpasukan sememangnya digalakkan bagi meningkatkan kemahiran berfikir secara kritis dan saintifik, menguruskan maklumat, menambah keyakinan melalui penulisan dan pengucapan serta mahir berinteraksi.

19. Dengan kata-kata itu, saya sekali ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada MQA dan Jabatan Pengajian Tinggi (JPT), khususnya kepada Ahli Jawatankuasa Kajian Kes Bersepadu dan Kajian Hala tuju atas dedikasi dan kesungguhan mereka menjayakan majlis pelancaran buku pada kali ini. Saya berharap kita dapat meneruskan lagi iltizam dan komitmen kita untuk menambah nilai dalam memartabatkan sektor pengajian tinggi negara. Untuk itu, saya sudahi ucapan saya dan merasmikan pelancaran hari ini dengan Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Sekian dan terima kasih.

Leave a Comment

Please note: Comment moderation is enabled and may delay your comment. There is no need to resubmit your comment.