2010/07/28
Mohamed Khaled Bin Nordin
NO man is an island. Begitulah ungkapan yang cukup terkenal daripada seorang penyair Inggeris, John Donne. Ungkapan itu memberi maksud kepada kita bahawa tidak ada pihak yang boleh hidup bersendirian, sebaliknya memerlukan hubungan dengan pihak lain.
Dalam konteks sektor pengajian tinggi, universiti juga tidak boleh bersendirian. Apatah lagi dalam dunia global yang semakin mengecil dan penuh persaingan, universiti perlu berinteraksi dengan pihak lain supaya ia sentiasa relevan dan progresif. Hubungan universiti boleh dijelmakan melalui pelbagai bentuk dan antaranya, ialah dengan pihak industri. Hubungan simbiosis universiti dan industri ini amat signifikan kerana kedua-duanya saling memerlukan.
Hubungan universiti dan industri bukanlah perkara baru dalam dunia pengajian tinggi di Malaysia. Ia telah berjalan sekian lama khususnya sepanjang 10 tahun kebelakangan ini. Dalam era Model Baru Ekonomi (MBE) misalnya, hubungan kedua-dua pihak ini semakin penting apabila negara memerlukan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi.
Bagi menghasilkan graduan yang berkualiti dan berkemahiran tinggi, universiti perlu bekerjasama dengan pihak industri dalam menyediakan latihan industri yang komprehensif. Oleh itu juga, satu cadangan pernah dilontarkan sebelum ini bagi memastikan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menjadi perintis kepada pelaksanaan program latihan industri kepada pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negara. Kita percaya, pada masa sama, ia boleh membantu universiti mempertingkatkan kebolehpasaran graduan mereka sekali gus mencapai Petunjuk Prestasi Utama atau KPI masing-masing.
Hubungan universiti dan industri juga penting dalam usaha memperkayakan kurikulum dalam pengajaran di universiti. Dalam hal ini, input industri amat penting supaya tahap ilmu itu sentiasa dinamik, selain kandungan pengajaran di bilik kuliah tidak terpisah dari dunia luar malah dapat memperkukuhkan lagi persediaan bakal graduan ke alam pekerjaan.
Dalam hal ini, kita harus akui bahawa proses penciptaan ilmu tidak hanya berlaku di universiti semata-mata, sebaliknya ia juga terhasil oleh pihak industri. Kita percaya, proses penciptaan ilmu baru sentiasa berlaku dalam industri dan ia juga wajar dimanfaatkan oleh universiti khususnya dalam merangka kandungan pengajaran supaya lebih segar dan dinamik.
Aspek pengkomersialan terhadap penyelidikan yang dijalankan oleh universiti juga memerlukan peranan industri untuk merealisasikannya. Memandangkan tahap pengkomersialan penyelidikan di IPT masih lagi rendah iaitu 2.9 peratus pada 2009, universiti mesti mengambil pendekatan proaktif termasuk membina jalinan hubungan industri yang teguh. Jika tidak, hasil penyelidikan hanya terkubur begitu saja atau tersimpan dalam tulisan jurnal semata-mata.
Jika pengkomersialan penyelidikan dapat dilakukan secara optimum, kita percaya ia mampu mencipta kemewahan sama ada pada pihak universiti dan industri. Kita menjangkakan pada tahun ini, penjanaan pendapatan hasil pengkomersialan penyelidikan di IPT boleh mencecah kepada 3.5 peratus yang membawa nilai RM37.6 juta. Kita berharap, penjanaan ini turut didorong oleh pihak industri sama ada tempatan mahupun antarabangsa.
Keempat-empat impak hubungan universiti dan industri seperti yang dinyatakan ini sememangnya menjelaskan kepada kita betapa pentingnya hubungan itu. Namun persoalan sekarang ialah, apakah kita sudah berpuas hati dengan pencapaian dan impak berkenaan? Jika tidak, apakah usaha dan pendekatan yang wajar diperkenalkan? Inilah antara persoalan yang perlu kita jawab.
Strategi baru hubungan universiti dan industri
Dalam menstrategikan hubungan universiti dan industri, sudah tiba masa kita memikirkan formula baru supaya ia lebih berkesan dan memberikan impak yang lebih tinggi. Ketika Pelancaran Pelan Pengukuhan Kerjasama Universiti, Industri dan Masyarakat baru-baru ini, hubungan universiti dan industri dicadangkan supaya mengambil pendekatan yang lebih berfokus iaitu kluster.
Melalui pendekatan kluster ini, lebih banyak pendekatan strategik akan dilaksanakan menerusi perbincangan kumpulan sasaran yang diketuai Pengerusi Majlis Dekan mengikut disiplin dan bidang industri masing-masing. Sebanyak 19 kluster yang dikenal pasti dan ini termasuklah pertanian, perbankan, bioteknologi, pembinaan, seni bina dan rekaan, kejuruteraan, barangan pengguna bergerak pantas (FMCG), teknologi makanan dan nutrisi serta penjagaan kesihatan.
Kita percaya, menerusi kaedah ini, ia akan membuka ruang kerjasama yang lebih fokus dan akrab malah ia bakal menjayakan lagi hasrat kita khususnya dalam soal memperkukuhkan pengkomersialan aktiviti penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran dan tahap kebolehpasaran graduan.
Lebih penting, pembabitan yang lebih besar oleh universiti dalam hal ini sebenarnya menggambarkan bagaimana hubungannya dengan industri wajar dijayakan secara kolektif dan bersifat konsensus. Hal ini amat bertepatan dengan hasrat kementerian untuk menjadikan pelan kerjasama universiti dan industri bukan bersifat top down sebaliknya satu rumusan juga hak secara bersama.
Selain itu, melalui pelan pengukuhan itu juga, kita berpendapat adalah tidak wajar membataskan impak hubungan itu kepada pihak universiti dan industri saja. Sebaliknya, kita perlu memperluaskan skop hubungan dan impak itu kepada masyarakat. Hal ini sebenarnya relevan dengan pendekatan kerajaan melalui Falsafah Induk 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
Pendek kata, hubungan universiti dan masyarakat mestilah mampu untuk mencipta kemewahan kepada masyarakatnya melalui pembangunan modal insan yang berkualiti. Tidak dinafikan, kolaborasi antara universiti dan industri mampu menjana pendapatan daripada royalti produk penyelidikan yang dikomersialkan dan merangsang pertumbuhan ekonomi negara serta menyediakan sumber tenaga manusia yang berpendapatan tinggi.
Sehubungan itu, 13 Memorandum Persefahaman atau MoU telah ditandatangani antara Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan industri serta antara universiti dan industri pada hari pelancaran berkenaan. Antaranya ialah memorandum persefahaman kerjasama dalam program pengajian tinggi di antara KPT dan Intel Technology Sdn Bhd, Intel Microelectronics (M) Sdn Bhd serta Intel Products (M) Sdn Bhd untuk mewujudkan perkongsian informasi dan pengetahuan dalam meningkatkan modal insan dan ini termasuk memberikan input dan berkongsi kurikulum Intel dengan universiti.
Begitu juga dengan memorandum persefahaman kerjasama di antara Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Syarikat Cucurbits Sdn Bhd dalam penyelidikan dan pembangunan untuk meningkatkan skala dan pemprosesan serta pengeluaran bagi Carotenoid Extracts dan Carotenoid Rich yang berfungsi untuk bahan makanan, minuman, nutraceutical dan cosmeceuticals.
Saya percaya kerjasama universiti dan industri melalui MoU ini bukan saja menguntungkan antara kedua-dua pihak, malah turut membawa kesan kepada masyarakat khususnya dalam mencipta kemewahan melalui proses atau program pemindahan pengetahuan dan teknologi dan pembangunan modal insan yang berkualiti.
Impak kepada masyarakat adalah pencapaian kemuncak dalam hubungan universiti dan industri. Dan inilah tumpuan baru dalam hubungan strategik universiti dan industri di negara kita.
Penulis ialah Menteri Pengajian Tinggi
Sumber : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Hubunganbaruuniversiti_industri_masyarakat/Article