bub
Blog

UMP kitar semula minyak hitam

Posted in: Ministry of Higher Education on March 16, 2011

Najib Tun Razak melihat model projek Green Tech UMP pada majlis perasmian model tersebut ketika mengadakan lawatan ke kampus utama UMP di Pekan, Pahang, baru-baru ini. Turut hadir Adnan Yaakob; Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dan Dr. Daing Nasir Ibrahim.


PEKAN 15 Mac – Universiti Malaysia Pahang (UMP) mengorak langkah dalam pembangunan teknologi hijau apabila membangunkan projek kitar semula minyak hitam terpakai menggunakan teknologi pengekstrakan.

Menurut Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim, projek itu akan memberi penyelesaian kepada pencemaran alam sekitar dan teknologi tersebut mampu meningkatkan kualiti produk berkenaan berbanding teknologi sedia ada.

Beliau berkata, sebuah kilang yang mampu menampung kapasiti maksimum 40 tan minyak sehari akan didirikan di tapak seluas 1.6 hektar di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan.

“Pengenalan itu akan membuka mata pelbagai pihak seperti nelayan, pengusaha bengkel kenderaan, industri kapal dan kilang simpanan minyak hitam supaya tidak membuang minyak itu ke laut, sungai dan longkang.

“Jika dulu minyak hitam terpakai dibuang dan menyebabkan pencemaran alam sekitar, kini ia satu sumber ekonomi serta memberi pulangan lumayan,” katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Projek tersebut dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa lawatan beliau ke kampus universiti itu di sini.

Projek itu diusahakan dengan kerjasama antara anak syarikat UMP, UMP Green Technology Sdn. Bhd., dan Urban Environmental Industries Sdn. Bhd.

Pada program itu, Perdana Menteri melawat pembangunan kampus UMP di sini yang menempatkan Fakulti Kejuruteraan Elektrik & Elektronik dan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal serta kediaman memuatkan 648 pelajar.

Daing memberitahu, kesan pembangunan teknologi itu mampu mengurangkan kebergantungan kepada sumber petroleum mentah dengan menjana sumber baru minyak tersebut yang diproses menjadi minyak pelincir.

Katanya, secara tidak langsung akan membantu menaikkan nama industri minyak pelincir di Malaysia serta membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat jika diusahakan dengan lebih meluas.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA

tag

Leave Your Comment

* This are required fields.