bub
Blog

TEKS UCAPAN MENTERI PENGAJIAN TINGGI SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PROGRAM PEMBANGUNAN KOMUNITI USAHAWAN SARAWAK DI DEWAN MASYARAKAT,GEDONG.

Posted in: Ministry of Higher Education on April 11, 2011

TEKS UCAPAN MENTERI PENGAJIAN TINGGI

YB DATO’ SERI MOHAMED KHALED BIN NORDIN

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN

PROGRAM PEMBANGUNAN KOMUNITI USAHAWAN

NEGERI SARAWAK DI DEWAN MASYARAKAT, GEDONG.

11 APRIL 2011, JAM 9.30 PAGI.

_________________________________________________________

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Selamat Pagi dan Salam 1Malaysia.

 

1.    Pertamanya, sukalah saya melafazkan setinggi kesyukuran ke hadrat Allah Taala kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, maka dapatlah kita bersama-sama ke Majlis Perasmian Program Pembangunan Komuniti Usahawan Negeri Sarawak pada pagi yang berbahagia ini. Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak penganjur iaitu Jabatan Pengajian Kolej Komuniti, Kementerian Pengajian Tinggi, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Unit Pembangunan Usahawan Bumiputera (UPUB), Jabatan Ketua Menteri Sarawak kerana telah sudi menjemput saya sekaligus merasmikan majlis kita pada hari ini. Saya percaya majlis yang akan kita lancarkan sebentar lagi ini merupakan satu inisiatif murni dalam usaha kita memperkukuhkan lagi akan pengetahuan, kefahaman dan kesedaran terhadap pembangunan keusahawanan di kalangan komuniti khususnya di Sarawak.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

(BIDANG KEUSAHAWANAN SEBAGAI PILIHAN)

2.    Dalam usaha melahirkan usahawan, kita sememangnya mengakui ia bukanlah suatu proses yang mudah. Saya percaya, usahawan-usahawan yang telah berjaya telah menempuhi pelbagai rintangan dan cabaran sepanjang mengusahakan perniagaan-perniagaan mereka. Dalam hal ini, kerajaan sentiasa mengambil langkah – langkah yang wajar untuk memperkukuhkan keupayaan para usahawan khususnya di Sarawak untuk mengembangkan perniagaan mereka. Bantuan ini termasuk menyediakan peluang, bantuan sumber kewangan atau melengkapkan kemahiran kepada mereka yang memerlukannya. Maka dalam hal ini, adalah penting bagi Kolej Komuniti, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) serta institusi-institusi yang lain berganding bahu bersama dengan Unit Pembangunan Usahawan Bumiputera (UPUB) memegang teraju dan memainkan peranan yang lebih giat untuk saling melengkapi inisiatif kerajaan ini agar lebih ramai masyarakat Sarawak bergelar usahawan pada masa hadapan dengan menyediakan latihan-latihan kemahiran serta keusahawanan kepada mereka.

 

 

Tuan-tuan dan Puan-puan,

(PROGRAM PEMBANGUNAN KOMUNITI USAHAWAN)

 

3.    Pada hari ini, kita akan menyaksikan pelancaran Program Pembangunan Komuniti Usahawan sebagai satu lagi inisiatif yang penting untuk memperkasakan budaya keusahawan sekaligus membuka mata dan minda para pelajar yang terlibat untuk menceburi bidang keusahawanan. Saya difahamkan, 100 orang pelajar Kolej Komuniti akan ditempatkan di 10 kampung terpilih iaitu 10 orang pelajar untuk setiap kampong bagi menjalankan aktiviti-aktiviti seperti lawatan ke industri kampung dan apa yang paling penting, bertindak kreatif untuk ‘mengangkat’ produk-produk yang dihasilkan oleh komuniti kampung ke pasaran. Saya percaya ini akan menjadi satu pengalaman yang tidak harus mereka persiakan kerana persediaan ke alam keusahawanan sememangnya tidak semudah yang disangka.

4.    Selain itu, saya juga dimaklumkan bahawa pada hari terakhir program ini, para pelajar yang terlibat dikehendaki menyediakan kertas kerja bertujuan untuk membangunkan ekonomi penduduk di kampung di mana mereka ditempatkan. Antara industri atau produk ekonomi yang menjadi tumpuan ialah :

 

a. Industri pertanian dan perladangan

b. Industri asas tani

c. Industri penternakan ruminant, perikanan fan akuakultur

d. Industri pemakanan dan

e. Industri kraftangan.

 

5.    Di akhir program ini, para peserta yang terlibat sama ada para pelajar Kolej Komuniti dan komuniti diharap akan dapat merapatkan hubungan sesama mereka, memahami selok-belok keusahawanan dan peluang-peluang perniagaan serta mewujudkan jaringan perniagaan yang strategik.

 

6.    Program Pembangunan Komuniti Usahawan ini juga akan melibatkan 9 (sembilan) zon lagi dan menjadikan jumlah keseluruhannya 10 (sepuluh) zon. Ini menunjukkan dan membuktikan komitmen dan iltizam kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi dan Kolej Komuniti dalam memastikan masyarakat Sarawak mendapat faedah daripada program keusahawanan yang dijalankan. Maka, dengan peluang yang telah diberikan oleh kerajaan, masyarakat haruslah sentiasa menyokong usaha-usaha pembangunan yang akan dilaksanakan ini. Sehingga kini, seramai 222 orang usahawan telah direkodkan oleh Pusat Pembangunan Usahawan Kolej Komuniti dan seramai 7 orang adalah dari negeri Sarawak. Dengan adanya program seperti ini, diharapkan bilangan ini akan bertambah lagi pada masa akan dating bagi merancakkan lagi perkembangan ekonomi bumiputera di Sarawak.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan,

(SCORE (SARAWAK CORRIDOR OF RENEWABLE ENERGY) DAN KEPERLUAN TERHADAP USAHAWAN)

 

7.    Usaha kerajaan dan agensi-agensi di bawahnya untuk menghasilkan para usahawan berjaya di negeri Sarawak ini bertepatan dengan perancangan SCORE iaitu membangunkan kawasan luar bandar dan membantu membasmi kemiskinan dengan menyediakan peluang pekerjaan dan menjana pendapatan rakyat. SCORE adalah inisiatif penting kerajaan menjadikan Sarawak negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030. Ini akan memberi peluang kepada rakyat Malaysia dan Sarawak untuk merebut pelbagai peluang pekerjaan yang bakal wujud, terutamanya di kalangan generasi muda yang terlatih dan mempunyai kelulusan.

 

8.    Dalam keadaan ekonomi dunia yang agak tidak stabil pada ketika ini, adalah menjadi satu cabaran yang besar kepada kerajaan dalam melahirkan usahawan-usahawan baru di negara ini. Oleh itu, kita bukan sahaja perlu menumpukan kepada inisiatif melahirkan usahawan semata-mata, tetapi juga perlu memberi perhatian kepada usaha membentuk usahawan-usahawan yang memiliki daya tahan dan daya saing yang tinggi supaya usahawan-usahawan kita mampu bertahan dan bersaing meskipun berhadapan dengan persekitaran ekonomi yang lembap dan mampu menjana ke arah keperluan tenaga kerja dalam SCORE.

 

9.    Sehubungan dengan itu, kerajaan akan sentiasa bekerja keras dan komited dalam usaha untuk membangunkan usahawan khususnya Bumiputera supaya lebih dinamik dan berdaya saing. Untuk berjaya, para usahawan perlulah mengubah sikap ke arah yang lebih positif dan dinamik serta berminat untuk menambah ilmu dalam pelbagai aspek pengurusan perniagaan. Ini kerana dalam era ekonomi berasaskan pengetahuan (k-economy) pada hari ini, hanya mereka yang berpengetahuan dan bermaklumat sahaja yang boleh maju dan berjaya.

 

 

 

 

 

Tuan-tuan dan Puan-puan,

(PENUTUP)

10. Akhir kata, saya sekali lahi ingin mengucapkan tahniah kepada semua di atas segala usaha dalam membangunkan golongan usahawan yang berjaya di Sarawak ini. Saya berharap usaha ini akan dapat diperhebatkan lagi pada masa hadapan, agar kemampuan, daya tahan dan daya saing para usahawan ditingkatkan lagi. Saya berdoa usahawan kita akan berjaya bukan sahaja di pasaran tempatan, tetapi juga di pentas antarabangsa. Saya dengan ini merasmikan Program Pembangunan Komuniti Usahawan Negeri Sarawak 2011. Sekian. Terima kasih. Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

tag

Leave Your Comment

* This are required fields.